TEHERAN: Beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara Teluk dilaporkan menjadi sasaran serangan balas Iran, menurut media memetik kenyataan pemerintahan tertinggi tentera bersama negara itu, Markas Khatam al-Anbiya.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan melancarkan serangan dron terhadap Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain dan memberi amaran akan mengambil tindak balas yang lebih keras sekiranya permusuhan berterusan, menurut laporan media.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain memaklumkan siren amaran dibunyikan dan orang ramai diminta segera mendapatkan perlindungan.
Tidak lama kemudian, penasihat media Raja Bahrain menerusi hantaran di platform X berkata, sistem pertahanan udara negara itu berjaya mematahkan serangan Iran.
Sementara itu, tentera Kuwait pada Rabu memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang menangani sasaran udara yang bersifat permusuhan dan menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Kenyataan itu dibuat selepas media Iran melaporkan IRGC menyasarkan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait menggunakan dron.
Media Iran turut melaporkan pada Rabu IRGC telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas apa yang didakwa sebagai pangkalan tentera AS di Al-Azraq, Jordan.
Menurut laporan itu, empat sasaran diserang menggunakan peluru berpandu jarak jauh, termasuk hangar pesawat pejuang F-35 dan pusat kawalan serta arahan pangkalan berkenaan.
Bagaimanapun, Pentagon tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas laporan mengenai situasi terbaharu di medan pertempuran.
Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak mentah meningkat kira-kira satu peratus pada awal dagangan Asia pada Rabu susulan peningkatan ketegangan konflik tersebut.










