100% premis di Malakat Mall patuh SOP PKP - Utusan Malaysia

100% premis di Malakat Mall patuh SOP PKP

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malakat Mall dekat sini ternyata berjaya mencecah kadar 100 peratus.

Demikian kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid ketika melakukan tinjauan di pusat beli-belah di Cyberjaya, Sepang itu kelmarin.

Beliau menerusi kenyataan di sini hari ini memaklumkan bahawa, lawatan mengejut itu bagi memantau sejauh mana pematuhan para peniaga kompleks perniagaan bumiputera tersebut.

“Saya dan pegawai penguat kuasa kementerian sangat berpuas hati dengan pengurusan gedung itu dengan semua premis di dalamnya mematuhi 100 peratus SOP PKP,” katanya.

Ini ujar beliau termasuk penyediaan kod imbas QR MySejahtera, alat pengesan suhu, cecair sanitasi tangan, daftar kehadiran pengunjung, had bilangan pelanggan dan penjarakan fizikal.

Pihak kementerian itu jelas Rosol, juga mendapati kedai yang tiada termasuk dalam senarai dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak beroperasi mengikut arahan ditetapkan.

Lawatan itu selaras penurunan kuasa diberikan kepada kementerian itu untuk pemantauan pematuhan SOP PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pusat itu dibuka sejak 15 Mac tahun lalu sebelum dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 6 September lepas.

Malakat Mall yang juga anak syarikat di bawah milik induk Kumpulan Brainy Bunch turut membuka cawangan baharu di Taman Bandar Baru, Masjid Tanah, Melaka awal Mac depan.

Dalam pada itu, Rosol memaklumkan bahawa jumlah pemeriksaan pematuhan SOP yang dibuat kementerian sejak 4 Mei hingga 2 Februari lalu adalah 348,409 premis seluruh negara.

“Kementerian tidak teragak-agak menutup premis yang tahap ketidakpatuhan di peringkat serius setelah diberikan nasihat diikuti tindakan amaran dan kemudian kompaun,” katanya.

Namun, setakat ini ujarnya, hanya sebanyak 45 premis yang dikenakan kompaun manakala 554 premis lagi dikeluarkan surat amaran keras dan 7,567 premis pula diberikan nasihat.

Beliau turut menyentuh Ops Pasar 2021 bermula 12 Januari lalu, bagi pemeriksaan rantaian bekalan tomato, cili merah Kulai, cili merah minyak, lobak merah dan kubis bulat import.

Daripada sebanyak 413 premis dan 1,151 barangan sayur yang diperiksa, sejumlah 440 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Untuk Ops Catut 8.0 melibatkan kelengkapan elektronik dan komunikasi sejak 25 Januari lalu, 261 notis dikeluarkan mengikut seksyen sama daripada 261 premis diperiksa,” katanya.

Sementara Ops Rantai 7.0 yang membabitkan produk minyak masak tiada subsidi sejak 26 Januari lalu, 37 notis dikeluarkan daripada sejumlah 22 premis diperiksa seluruh negara.

Rosol bagaimanapun memberi jaminan, setakat ini tiada krisis bekalan yang direkodkan berlaku di mana-mana kawasan dengan semuanya berada pada tahap stabil dan mencukupi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya