Unjuran Kementerian Pelancongan tidak masuk akal 

Unjuran Kementerian Pelancongan tidak masuk akal – Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penutupan Hotel Equatorial di Bukit Jambul di sini menunjukkan kadar penginapan hotel sebanyak 58.4 peratus yang diunjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi 2021 tidak masuk akal. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, unjuran palsu dan tidak realistik seperti itu akan merosakkan keyakinan rakyat kononnya kerajaan tahu bagaimana menyelamatkan industri pelancongan negara. 

“Bolehkah darurat dan penggantungan Parlimen membantu menyelamatkan hotel dan industri pelancongan negara? 

“Walaupun terdapat kerugian pendapatan sebanyak RM100 bilion pada 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dipilih rakyat tidak melakukan secukupnya untuk membantu dan menyelamatkan industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Hotel bertaraf lima bintang, Hotel Equatorial di Bukit Jambul, Pulau Pinang dilaporkan akan menutup operasi berkuat kuasa 31 Mac ini. 

Menurut satu surat yang tular dalam media sosial, penutupan hotel tersebut dilakukan berikutan tidak mampu lagi menampung kerugian ekoran penularan wabak Covid-19. 

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, bukan hanya hotel bahkan banyak agensi pelancongan dan pengusaha bas pelancong telah gulung tikar. 

“Sekiranya infrastruktur asas pelancongan runtuh atau ditutup, bagaimana Malaysia boleh mendapat keuntungan daripada sebarang kebangkitan semula industri pelancongan?” soalnya. 

Dalam pada itu, katanya, rakyat Pulau Pinang berasa sedih kerana Hotel Equatorial bertaraf lima bintang itu akan ditutup sebelum 31 Mac ini kerana keadaan perniagaan yang buruk disebabkan oleh Covid-19. 

Katanya, rakyat negeri ini mempunyai kenangan indah tentang Hotel Equatorial sebagai salah satu hotel lima bintang terawal di Pulau Pinang yang dibawa masuk oleh mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu semasa beliau menjadi Ketua Menteri. 

“Sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, kedua-dua bandar berkembar Georgetown dan Melaka telah kehilangan hotel bintang lima terawal mereka. 

“Ramada Plaza Melaka (dahulunya dikenali sebagai Renaissance Melaka) ditutup pada Mei 2020. Ini menunjukkan betapa seriusnya kesan buruk pandemik global Covid-19 kepada industri pelancongan tempatan, yang kehilangan pendapatan dianggarkan RM100 bilion pada 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya