UMNO-Bersatu retak menanti belah? - Utusan Malaysia

UMNO-Bersatu retak menanti belah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendirian tegas hampir setiap akar umbi UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seolah-olah menunjukkan hubungan kedua-dua parti itu tidak dapat diselamatkan lagi.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, ini juga menunjukkan sentimen di peringkat akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinan UMNO yang terus bekerjasama dengan Bersatu.

“Akar umbi wajar menegaskan pendirian mereka dan tidak bertolak ansur terhadap Bersatu, jelas ada sentimen yang marah dengan pucuk pimpinan, mereka mahu mengubah parti menjadi lebih baik dan memastikan pengundi kembali kepada UMNO.

“Tetapi UMNO tidak mempunyai banyak pilihan. Pertelingkahan ini akan berterusan jika mereka terus berasa sangsi antara satu sama lain, jelas hubungan mereka ini sudah tidak dapat dipertahankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Jeniri, penolakan itu juga menunjukkan ada akar umbi UMNO yang terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti selain daripada parti dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memenangi PRU-15.

“Dinamika politik negara sudah berubah. Jika Pas pernah bekerjasama dengan DAP, apa salahnya PKR dengan UMNO? Ini tidak mustahil,” katanya.

Pada masa sama, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, UMNO perlu mengambil kira pandangan akar umbi terhadap hubungan parti itu dengan Bersatu.

Katanya, pucuk pimpinan parti perlu melakukan sesuatu jika tidak mahu perbalahan antara dua parti berterusan sehingga menjejaskan peluang mereka bagi menghadapi PRU-15.

“Bagi mengelak daripada buli-membuli dan ugutan satu sama lain berterusan, Majlis Tertinggi UMNO perlu membuat keputusan dengan mengambil kira sentimen akar umbi.

“UMNO tidak boleh terlepas pandang lagi sentimen daripada akar umbi, perkara ini sukar diatasi selagi ada perasaan syak wasangka dan melainkan mereka mampu meredakan keadaan, keputusan harus dibuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN