Tindakan tegas terhadap majikan gagal patuhi Akta 446 - Utusan Malaysia

Tindakan tegas terhadap majikan gagal patuhi Akta 446

PEGAWAI JTK Negeri Sembilan membuat pemeriksaan di sebuah rumah kedai yang dijadikan tempat penginapan pekerja warga asing dalam Operasi Pematuhan Akta 446 di sekitar Taman Oakland, Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kadar pematuhan majikan di Negeri Sembilan menerusi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) masih pada tahap rendah dengan hanya 25 daripada 5,000 majikan memohon Perakuan Penginapan setakat ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, S. Tharu Marajan berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang masih gagal memohon Perakuan Penginapan di bawah Akta 446 memandangkan perkara tersebut telah dimaklumkan secara meluas sejak dikuatkuasakan 1 September lalu.

“Daripada 25 majikan yang memohon, sebanyak 20 telah berjaya mendapat kelulusan melibatkan 227 bangunan sementara dua permohonan ditolak dan baki tiga lagi masih menunggu kelulusan. 

“Banyak lagi majikan di luar sana masih belum membuat permohonan Perakuan Penginapan dan ini merupakan satu kesalahan yang amat serius, jika sabit kesalahan majikan boleh didenda sehingga maksimum RM50,000 bagi seorang pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Pematuhan Akta 446 di sekitar Taman Oakland dekat sini hari ini.

Operasi tersebut dijalankan di dua tempat penginapan pekerja warga asing melibatkan sektor pembuatan dan perkhidmatan restoran bermula pukul 10 pagi melibatkan 12 anggota JTK Negeri Sembilan.

Menurut Tharu Marajan, dalam operasi yang dijalankan, kebanyakan majikan menggunakan rumah kedai sebagai pusat penginapan pekerja yang didapati tidak sesuai sebagai tempat kediaman manusia selain tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Antara ketidakpatuhan yang dikesan adalah daripada segi bangunan yang digunakan tidak sesuai untuk penginapan pekerja dan kegagalan majikan menyediakan kemudahan minimum.

“Rumah kedai ini sepatutnya diubahsuai sebagai pusat penginapan dan perlu mendapat kelulusan PBT, seterusnya majikan boleh memohon Perakuan Penginapan di bawah Akta 446,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini separuh daripada 50,000 pekerja asing di Negeri Sembilan telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang telah ditetapkan.

“Mana-mana majikan dalam semua sektor yang menggajikan pekerja asing di negeri ini diminta menghubungi Perkeso atau panel klinik yang telah dilantik Perkeso untuk temu janji bagi ujian saringan Covid-19 dalam kadar segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya