ALOR SETAR: Tindakan Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua ahli Parlimen mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membatalkan pengisytiharan darurat di negara ini disifatkan sebagai satu provokasi.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, tindakan Anwar seperti cuba menggambarkan ahli Parlimen tidak boleh menerima titah Seri Paduka yang memperkenankan pelaksanaan darurat.
Menurutnya, pada waktu ini, Anwar sepatutnya bersama-sama ahli Parlimen membantu kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 dan membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri yang berada dalam keadaan kesusahan.
“Sepanjang tempoh darurat ini, semua ahli politik sepatutnya menjadikan sebagai tempoh bertenang dengan memberi fokus kepada pemulihan Covid-19 dan ekonomi. Namun, suasana tenang itu telah dikocak menjadi bergelora semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam media melaporkan, Anwar telah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong kelmarin memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Bagaimanapun, Mohd. Suhaimi berkata, pihaknya percaya terdapat dalam kalangan ahli Parlimen akan memenuhi pelawaan Anwar itu walaupun ditolak oleh rakyat.
“Orang politik jika ada jolokan macam ini, ada juga dalam kalangan mereka yang terima, dan ada juga tidak terima,” katanya. – UTUSAN









