Tidur rumah janda lepas gaduh dengan isteri - Utusan Malaysia

Tidur rumah janda lepas gaduh dengan isteri

PEGAWAI penguat kuasa PADK sedang menyoal siasat pasangan yang dicekup dalam operasi pencegahan maksiat di Padang Serai, Kulim hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki memberi alasan terpaksa menumpang tidur di rumah seorang ibu tunggal kerana bergaduh dengan isterinya  ketika ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim  (PADK) di Padang Serai di sini hari ini.

Lelaki berusia 32 tahun yang berstatus suami orang ditahan bersama seorang wanita terbabit berusia 39  tahu  kira -kira pukul  3.40 pagi.

Pegawai Penguat Kuasa PADK, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, lelaki tersebut turut didapati membawa seorang anak lelakinya berusia tiga tahun ke rumah teman wanitanya itu. 

Katanya, PADK sebelum itu menerima aduan daripada orang awam yang mengesyaki berlaku perbuatan maksiat di rumah wanita berkenaan.

“Saya bersama empat penguat kuasa (PADK) kemudian membuat pemeriksaan di rumah yang dimaklumkan.

“Kita mengetuk pintu selama kira-kira 10 minit sebelum seorang wanita membuka pintu dan apabila dimaklumkan tujuan kehadiran kami, dia  membenarkan kami masuk untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan dalam rumah itu menemui seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan anak wanita berkenaan di sebuah bilik.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah lagi bilik, kita menemui seorang lelaki bersama seorang kanak-kanak lelaki,” ujarnya.

Menurutnya, hasil soal siasat, lelaki terbabit memberi alasan dia bergaduh dengan isterinya lalu keluar dari rumahnya di Pulau Pinang bersama seorang anak lelaki.

“Dia mendakwa tiada tempat tidur, jadi dia menumpang di rumah  wanita itu,” katanya.

Kata Anwar Shariffudin, siasatan lanjut mendapati wanita  itu sudah bercerai dan mempunyai empat orang anak yang mana tiga lagi anaknya tinggal bersama bekas suaminya.

“Pasangan yang ditahan itu merupakan penjawat awam yang bertugas di Pulau Pinang dan mereka gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri seterusnya menimbulkan syak mereka melakukan maksiat di rumah tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, mereka dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri 2014. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.