PUNB beri penangguhan pembayaran pembiayaan, tawaran diskaun - Utusan Malaysia

PUNB beri penangguhan pembayaran pembiayaan, tawaran diskaun

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dalam membantu usahawan kekal berdaya saing dan bertahan ketika pandemik Covid-19, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memberi penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal dan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi sewa premis perniagaan selama enam bulan.

Penangguhan dan tawaran diskaun selama enam bulan itu berkuatkuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2021. 

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, penangguhan pembayaran pembiayaan itu hanya terpakai ke atas prinsipal sahaja, manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan. 

“Semua rakan usahawan PUNB yang telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember 2020 secara automatik layak menerima inisiatif ini. 

“Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Januari hingga Jun 2021 ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000  rakan usahawan  PUNB melibatkan kutipan sebanyak RM110 juta,” katanya di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Noh berkata, sebanyak 226 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara, layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari ini melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta. 

“Saya berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh  rakan usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan kerana ramai daripada mereka masih dalam proses untuk pulih dan kembali berdaya saing,” katanya. 

Untuk rekod, tahun lalu, PUNB mengumumkan pemberian inisiatif penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan bermula April sehingga Disember melibatkan kutipan sebanyak RM155 juta. 

Manakala, bagi pengecualian sewa bermula 1 April hingga 30 September tahun lalu pula, sebanyak 220 premis perniagaan milik PUNB dengan anggaran kutipan sewa sebanyak RM5.3 juta.

Bagi pemberian diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh Oktober hingga Disember 2020 pula melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM1.37 juta.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.