Pulangkan duit beli kereta baharu untuk bantu rakyat 

Pulangkan duit beli kereta baharu untuk bantu rakyat 

OH Tong Keong (tiga dari kanan) menunjukkan kenderaan rasmi yang digunakan oleh bekas Ketua Menteri, Tun Dr. Lim Chong Eu sejak 1982 sehingga tahun 1995 yang kini masih boleh digunakan di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri mendesak kerajaan negeri memulangkan RM460,000 yang telah digunakan untuk membeli kenderaan rasmi baharu buat Ketua Menteri dalam bentuk bantuan kepada rakyat yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19. 

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ketika ini lebih 5,700 keluarga di negeri ini hidup di bawah garis kemiskinan, maka lebih baik jika RM460,000 yang digunakan bagi membeli kereta baharu digunakan untuk membantu rakyat. 

Sebagai contoh, tambahnya, dengan membahagikan RM460,000 kepada 661 penerima bantuan Agenda Saksama Ekonomi(AES) yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40), setiap daripada mereka akan menerima RM695. 

“Sekiranya RM460,000 dibahagi sama rata kepada 460 penganggur yang sukar menampung perbelanjaan kehidupan, setiap mereka akan menerima RM1,000 

“Namun, amat menyedihkan wang ini telah digunakan hanya untuk membeli sebuah kereta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Kon Yeow kelmarin menerima kereta rasmi baharu jenis Mercedes S560e model tahun 2019 berharga kira-kira RM458,000  bagi menggantikan kereta rasmi sedia ada iaitu Mercedes S300L yang dibeli pada 2013. 

Kereta baharu itu dibeli pada 31 Disember lalu dengan kos RM458,122.78 iaitu penjimatan sebanyak RM127,765.22 daripada harga asal. 

Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata, kerajaan negeri sebelum ini mendakwa tidak mempunyai wang dan membentangkan belanjawan negeri yang mengalami defisit sebanyak RM400 juta. 

Malah, ujarnya, kerajaan negeri turut mendesak Kerajaan Pusat memberikan dana bagi membantu mengurangkan defisit berkenaan, namun sebaliknya boleh berbelanja untuk membeli sebuah kereta mewah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, ketika Gerakan mentadbir negeri ini selama 26 tahun, hanya dua buah kenderaan rasmi dibeli kedua-dua pemimpin mereka yang merupakan Ketua Menteri ketika itu. 

“Mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu menggunakan kenderaan rasmi sejak 1982 sehingga 1995 dan kereta itu turut digunakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. 

“Namun pada 1995, kenderaan rasmi yang lama digantikan dan digunakan sehingga tahun 2014,” katanya. 

Malah, ujar beliau, kenderaan rasmi yang telah digunakan Chong Eu sehingga kini masih boleh digunakan dan berada di ibu pejabat Gerakan negeri di sini. 

“Tetapi kerajaan DAP telah membeli kenderaan rasmi baharu untuk Ketua Menteri sebanyak dua kali dalam tempoh berkuasa selama tujuh tahun sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya