PRU-15: Siapa rakan, seteru UMNO? - Utusan Malaysia

PRU-15: Siapa rakan, seteru UMNO?

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKAR umbi UMNO selesai mengadakan mesyuarat empat peringkat mereka semalam selepas dua kali ditangguhkan.

Terdahulu, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri itu berlangsung tiga hari bermula Jumaat lalu dengan kehadiran terhad selain berlangsung secara maya ekoran penularan pandemik Covid-19.

Perhimpunan Agung UMNO sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pula dijadual berlangsung 30 Januari ini manakala Perhimpunan Agung UMNO pada keesokannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sudah pasti tumpuan mesyuarat diberikan kepada persiapan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Ia adalah mesyuarat terakhir jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Menerusi usul-usul politik, akar umbi UMNO bersuara tentang Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat sangat signifikan dalam menentukan hala tuju parti itu menjelang PRU-15.

Suara akar umbi ini seharusnya menjadi panduan pucuk kepemimpinan tertinggi UMNO dalam mempertimbang keputusan siapa yang bakal menjadi rakan kerjasama atau seteru politik mereka.

Sepanjang mesyuarat berlangsung, berkobar-kobar semangat akar umbi menyatakan pelbagai pandangan. Rumusannya, majoriti daripada 191 bahagian UMNO menolak kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRU-15.

Antaranya UMNO Bahagian Paya Besar, Bahagian Tangga Batu dan Bahagian Seremban kerana mengambil kira tidak ada ikatan antara UMNO dan Bersatu. Cuma UMNO ketika ini menyokong kerajaan PN sedia ada.

Ketika banyak kawasan di negeri-negeri lain mengemukakan usul supaya tidak bekerjasama dengan Bersatu termasuk gesaan menolak sokongan kepada kerajaan PN, UMNO Perlis pula menyatakan pendirian teguh untuk memperkasa hubungan dengan Pas dalam MN selain memantapkan kerjasama dengan Bersatu menerusi PN.

Isu kerjasama secara politik dengan Bersatu sebenarnya bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sudah lama dibincangkan Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO.

Hakikatnya, sudah menjadi tradisi UMNO memberi kebebasan kepada akar umbinya mengemukakan usul-usul bersesuaian sepanjang mesyuarat perwakilan empat peringkat itu berlangsung.

Walaupun tiada sekatan, persoalannya sejauh mana pucuk kepemimpinan parti itu benar-benar mendengar seterusnya menterjemahkan suara akar umbi mereka?

Bagaimana pula UMNO meraikan kepelbagaian pendapat ini tanpa mengundang perpecahan, rajuk atau pemberontakan dalam kalangan ahlinya?

Atau akar umbi UMNO hanya sekadar mampu riuh dan berkobar-kobar di bawah tetapi kemudian diminta akur dan wala’ dengan sebarang keputusan pucuk kepemimpinan parti?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini sangat kritikal dalam menentukan survival UMNO sebagai antara parti terbesar dan dianggap keramat orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Kini, dalam lanskap berbeza apabila UMNO bukan lagi menjadi parti peneraju pentadbiran kerajaan dan dengan kewujudan lebih banyak parti-parti Melayu, Ahli Majlis Tertingginya berdepan cabaran besar dalam menguruskan suara akar umbi.

Setiap pilihan ada risikonya, buatlah keputusan terbaik berlandaskan asas perjuangan yang dilaungkan UMNO iaitu demi Abata (Agama, Bangsa dan Tanah Air). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN