PKPD di Kg. Timbang Dayang, Pusat Koreksional Jasin ditamatkan

PKPD di Kg. Timbang Dayang, Pusat Koreksional Jasin ditamatkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah, kerajaan memutuskan lokaliti itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 18 Januari ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, Kementerian Kesihatan melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif direkodkan.

“PKPD ini bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan serta bagi menyekat penularan jangkitan Covid-19 di dalam komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan ditamatkan hari ini sebagaimana dijadualkan.

Kata beliau, sebanyak 737 ujian saringan dilaksanakan sehingga kini dan secara kumulatif sebanyak 281 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan pelaporan harian kes aktif di pusat tahanan ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya. 

Mengulas mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri menjelaskan, polis menahan 466 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 463 dikenakan kompaun.

Katanya, antara kesalahan itu ialah aktiviti pusat hiburan (187), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (110), tidak memakai pelitup muka (90), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (62) dan lain-lain kesalahan  (17). 

Beliau berkata, Operasi Benteng pula berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas enam kenderaan darat selain mengadakan sebanyak 109 sekatan jalan raya.

“Mengenai kuarantin wajib, sejak 24 Julai lalu, seramai 97,758 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 17 premis lain.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,673 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan selain seramai 89,545 individu dibenarkan pulang,” katanya.  

Ismail Sabri berkata, sejak 20 April lalu, sebanyak 14,128 jumlah pemeriksaan dilakukan anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,029 tapak binaan di seluruh negara.

Katanya, empat tapak pembinaan diperiksa semalam dan kesemuanya didapati  mematuhi SOP ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya