PKP pula di Seremban, Port Dickson, PKPD tamat di Timbang Dayang - Utusan Malaysia

PKP pula di Seremban, Port Dickson, PKPD tamat di Timbang Dayang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas seluruh Kelantan dan Bahagian Sibu di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin, namun kini giliran dua daerah di Negeri Sembilan pula.

Ia susulan keputusan terbaharu oleh pihak kerajaan untuk melaksanakannya di Daerah Seremban dan Port Dickson selama 14 hari yang bermula pada esok sehingga 1 Februari depan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKP itu adalah bagi mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan kadar insiden jangkitan di Seremban sangat tinggi dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 777 kepada 876 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu ujarnya, tujuh daripada sembilan mukim di daerah itu juga adalah zon merah yang merekodkan bilangan kes baharu antara 56 hingga 283 kes dalam masa dua minggu lepas.

Manakala di Port Dickson kata Ismail Sabri, kementerian mengesan berlaku peningkatan mendadak sepanjang 14 hari yang melibatkan beberapa kluster daripada 35 kepada 167 kes.

Kerajaan pada 11 Januari lalu memutuskan PKP 2.0 dibuat di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah serta tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara Negeri Sembilan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) selain Pahang, Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan Perlis dan Sarawak masih kekal PKP Pemulihan (PKPP).

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah ditamat hari ini mengikut jadual ditetapkan.

“Sehingga kini, pihak kementerian berkenaan sudah melaksanakan 516 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 53 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” jelas beliau.

Keadaan baki kes aktif di lokaliti ini kata beliau, adalah terkawal dengan kes terakhir dicatatkan pada 11 Januari lalu dan tiada lagi sampel yang menunggu keputusan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya