Kekurangan pegawai perubatan Hospital Lahad Datu akan ditangani segera - Utusan Malaysia

Kekurangan pegawai perubatan Hospital Lahad Datu akan ditangani segera

JULITA MAJUNGKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan isu kekurangan pegawai perubatan di Hospital Lahad Datu akan ditangani segera bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus berjalan lancar tanpa menjejaskan keselamatan pesakit.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kerajaan negeri memahami kebimbangan penduduk berhubung masalah kekurangan tenaga kerja perubatan yang sedang dihadapi hospital berkenaan.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kini sedang mengambil langkah segera bagi memastikan operasi dan perkhidmatan kritikal hospital itu dapat diteruskan dengan berkesan.

“Kerajaan Sabah memahami kebimbangan yang dibangkitkan penduduk berhubung kekurangan pegawai perubatan di Hospital Lahad Datu dan keutamaan ketika ini adalah memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.

“Saya dimaklumkan bahawa JKNS sedang mengambil tindakan segera bagi memastikan perkhidmatan kritikal hospital itu dapat diteruskan tanpa menjejaskan keselamatan dan kebajikan pesakit,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai permasalahan kekurangan pegawai perubatan yang dilaporkan berlaku di hospital berkenaan sejak kebelakangan ini.

Julita berkata, fokus utama ketika ini adalah meminimumkan sebarang gangguan terhadap perkhidmatan kesihatan, khususnya membabitkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan penjagaan rapi.

Katanya, isu tenaga kerja kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan sahaja melibatkan penempatan pegawai perubatan, malah usaha mengekalkan tenaga kerja berpengalaman di fasiliti kesihatan yang berdepan tekanan perkhidmatan tinggi.

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan JKNS bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur, terus diberi perhatian dan diperkukuhkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN