Perbandingan Akta Darurat Kelantan 1977 menyalahi fakta - Utusan Malaysia

Perbandingan Akta Darurat Kelantan 1977 menyalahi fakta

KAMARUL ZAMAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keperluan untuk membentang dan meluluskan Ordinan mahu pun Proklamasi Darurat 2021 di Parlimen terlebih dahulu sebelum ia dikuatkuasakan, langsung tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, dalam hal itu, dakwaan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dengan mengambil perbandingan dengan pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977, adalah menyalahi fakta.

Menurut beliau, sebelum 31 Mei 1960, memang ada peruntukan yang menyebut Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa jika ia tidak dibentang dan diluluskan di Parlimen selepas habis tempoh dua bulan proklamasi itu dikeluarkan, tetapi peruntukan itu sudah tiada selepas tarikh itu.

Beliau menjelaskan, sebelum 15 Mei 1981 juga terdapat peruntukan menghendaki Yang di-Pertuan Agong memanggil Parlimen dengan seberapa segera jika Proklamasi Darurat dikeluarkan dalam masa Parlimen tidak bersidang, tetapi peruntukan itu sudah dimansuhkan selepas tarikh tersebut.

“Dalam tesis doktor falsafah (PhD), Datuk Dr. Cyrus V. Das mengenai darurat di Malaysia dari Universiti Brunel juga menyatakan bahawa ketiadaan tempoh spesifik dalam mana-mana Proklamasi Darurat perlu dibentangkan di Parlimen menyebabkan kerajaan tidak perlu segera berbuat demikian.

“Perlu diketahui bahawa Darurat Kelantan 1977 adalah satu darurat politik yang berpunca daripada tindakan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Kelantan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Mohamad Nasir selaku Menteri Besar Kelantan dalam sidang DUN pada 15 Oktober 1977,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Mohamad Nasir adalah pemimpin Pas yang dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan atas kehendak UMNO.

Katanya, walaupun Pas dan UMNO adalah rakan gabungan dalam Barisan Nasional (BN), 14 ADUN UMNO (dan MCA) Kelantan tidak menyokong usul undi tidak percaya tersebut.

“Saya sendiri pernah bertemu dengan beberapa orang berpangkat Tan Sri dan Datuk yang mengakui dan berbangga mengenai penglibatan mereka di dalam usaha untuk cuba mencetuskan suasana huru-hara di Kelantan ekoran penggulingan Mohamad Nasir.

“Tiada ancaman serius wujud terhadap keselamatan di Kelantan yang mana tiada sebarang kematian atau kecederaan serius dilaporkan, malah perintah berkurung pun terhad di Bandar Kota Bharu pada 19 Oktober 1977 dan di Kubang Kerian pada 22 Oktober 1977 sahaja,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu telah memaklumkan kepada Pas Kelantan yang sedang berusaha membentuk kerajaan baharu pada 25 Oktober 1977 bahawa Kelantan akan didaruratkan, sekali gus beliau terus mengumumkannya pada 4 November 1977.

Ekoran pengumuman Dr. Mahathir itu, kata beliau, mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 6 November 1977 mengarahkan semua ahli Jemaah Menterinya meletakkan jawatan bagi membolehkan mereka menentangnya di Kabinet dan di Parlimen pada 8 November 1977.

Beliau memberitahu, Dr. Mahathir sendiri sewaktu menggulung perbahasan ke atas rang undang-undang itu pada jam 1.53 pagi 9 November 1977 menyebut, mengikut Perlembagaan, ia tidak perlu dibawa ke Parlimen tetapi ia tetap dibawa kononnya bagi menghormati demokrasi.

“Bila ia dibawa untuk diundi secara belah bahagi menjelang jam 2.45 pagi 9 November 1977, maka terzahirlah 11 nama Ahli Parlimen Pas sebagai mereka yang tidak bersetuju.

“Setelah itu, Pas tiba-tiba dihadapkan dengan arahan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 untuk memecat 11 Ahli Parlimennya yang mengundi menentang rang undang-undang itu dari menjadi ahli Pas kerana ia dikatakan melanggar Fasal 14 Perlembagaan BN,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan UMNO membuat keputusan itu ialah parti-parti anggota BN yang ahlinya didapati menentang arahan party whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin dengan memecat mereka itu dari menjadi ahli-ahli partinya.

Justeru, soal beliau, logikkah untuk Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memecat keahlian Datuk Mohd. Asri Muda yang merupakan Presidennya atau Datuk Abu Bakar Umar yang merupakan Naib Presiden atau Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Ketua Dewan Ulama atau Mustapha @ Hassan Ali yang merupakan Ketua Dewan Pemudanya.

Bagaimanapun, katanya, Pas membuat keputusan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 7 Disember 1977, iaitu Pas tidak sanggup memecat ‘orang-orang yang akan menentukan masa depan Pas’ itu dan bersedia menerima apa saja tindakan dari Dewan Tertinggi BN, tetapi Pas berharap sebarang keputusan hendaklah diasaskan kepada kebaikan perpaduan orang-orang Melayu sendiri.

“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 ini pada akhirnya memutuskan untuk mengarahkan Pas untuk memecat 11 Ahli Parlimennya yang mengundi menentang rang undang-undang ini dari menjadi ahli Pas sebelum 17 Disember 1977 dan jika Pas gagal berbuat demikian sebelum tarikh itu maka Pas akan terpecat dengan sendiri dari BN.

“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 14 Disember 1977, setelah membincangkan perkara ini mengutuskan sepucuk surat kepada Setiausaha Agung BN yang menyatakan atas semangat keputusan Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 dan sikap tegas Pas, maka tidaklah mustahak lagi bagi BN menunggu tempoh seperti yang ditetapkan, dan dengan demikian pada hakikatnya Pas telah pun dipecat dari BN mulai tarikh 13 Disember 1977 itu juga,” katanya.

Rentetan peristiwa itu, Kamarul Zaman mempersoalkan, tidakkah ia menunjukkan bahawa pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 sebenarnya bukanlah bukti demokratik pemimpin UMNO pada waktu itu tetapi adalah bukti kejahatan mereka yang mahu menggunakannya sebagai alasan untuk menendang Pas keluar dari BN?

Katanya, pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 ini juga sebenarnya bukanlah untuk memenuhi kehendak mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa pihak tertentu, tetapi adalah untuk memenuhi kehendak nafsu serakah untuk pemimpin UMNO berkuasa pada waktu itu semata-mata. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.