Peperiksaan awam tetap diteruskan termasuk SPM bermula 22 Februari - Utusan Malaysia

Peperiksaan awam tetap diteruskan termasuk SPM bermula 22 Februari

Sebahagian pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hadir ke sekolah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sesi persekolahan bermula Rabu lalu. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua peperiksaan awam bagi tahun 2020 yang bakal diduduki lebih 500,000 pelajar termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 22 Februari ini, tidak akan ditangguhkan.

Bagi pelajar terlibat yang positif Covid-19 atau dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit, mereka boleh menduduki peperiksaan itu selepas disahkan pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, kementerian telah mengadakan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi menentukan kategori pelajar yang akan menduduki peperiksaan sama ada dalam keadaan sihat, bergejala positif atau dikuarantin.

Menurutnya, pihak kementerian juga tidak akan membuat perubahan terhadap peperiksaan tersebut walaupun mengambil kira situasi pengajaran dan pembelajaran ketika ini kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) contohnya diiktiraf oleh Cambridge yang setara dengan O Level.

“Jika sebarang perubahan dibuat maka akan hilang pengiktiran tersebut dan pihaknya tidak mahu calon peperiksaan tahun 2020 tidak akan memperoleh pengiktirafan sijil mereka sekali gus menjejaskan peluang untuk meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi atau memasuki bidang kerjaya,” katanya di sini semalam.

Beliau dalam masa sama amat menggalakkan para pelajar yang akan menduduki peperiksaan dapat hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran bersemuka.

Sementara itu bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, beliau tidak melihat adanya kewajaran peperiksaan SPM ditangguhkan pada masa ini, apatah lagi ia bakal memberi kesan kepada sektor lain.

“ Perlu diingat bukan mudah untuk merombak sistem dalam masa terdekat. Tambahan pula, SPM berkait rapat dengan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) atau institusi lain.Ia akan menyebabkan banyak perkara menjadi tergendala.

“Justeru jalan terbaik untuk pelajar yang dikuarantin, mereka boleh menduduki peperiksaan di pusat kuarantin dengan kawalan ketat membabitkan pegawai perubatan dan guru yang dipakaikan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE),” ujarnya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md. Noor berkata, beberapa langkah pelaksanaan yang lebih ketat perlu dilakukan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan tanpa perlu menangguhkan atau membatalkan peperiksaan berkenaan.

“Ujian calitan perlu dilaksanakan secara rawak terutama di kawasan zon merah. Ini secara tidak langsung dapat mengenal pasti individu yang mempunyai simptom sekali gus mengambil langkah awal mencegah penularan,” jelasnya.

Bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), cadangan menangguhkan peperiksaan SPM bukanlah keputusan yang sesuai buat masa ini.

Menurut Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, pihaknya tidak bersetuju jika peperiksaan tersebut ditangguhkan atau dibatalkan.

“Kita tidak tahu penularan wabak Covid-19 ini berterusan sehingga bila dan adalah lebih baik jika kita memberi fokus untuk mengawal dan mencegahnya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita juga perlu mengambil kira kestabilan emosi dan mental pelajar yang telah lama belajar tetapi masih belum selesai dengan peperiksaan besar ini. Penangguhan SPM juga akan mengganggu jadual persekolahan pelajar tingkatan lain,” katanya.

Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, peperiksaan tersebut masih perlu diteruskan seperti yang dijadualkan Kementerian Pendidikan.

“Sebab itu kita perlu melakukan langkah pencegahan termasuk ujian saringan Covid-19 kepada calon-calon di asrama manakala pelajar di sekolah harian biasa pula perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum memasuki premis sekolah,” katanya.

Syed Anuar berkata, Kementerian Pendidikan disarankan mengadakan ujian saringan Covid-19 kepada calon-calon SPM dan STPM di asrama seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN