Pecah cermin kereta kerana hotel penuh - Utusan Malaysia

Pecah cermin kereta kerana hotel penuh

CERMIN sebuah kereta yang dipecahkan seorang lelaki kerana tidak berpuas hati hotel yang mahu didiaminya penuh di Kluang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang lelaki bertindak memecahkan cermin empat buah kereta di pekarangan sebuah hotel di bandar ini gara-gara tidak berpuas hati bilik hotel yang dihajati tiada kekosongan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata, suspek berusia 33 tahun menggunakan topi keledar dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi ini.

Menurut beliau, seorang wanita berusia 41 tahun yang bertugas sebagai penyambut tamu di hotel itu menghubungi polis bagi meminta bantuan.

“Lelaki tersebut telah menekan loceng hotel dan bertanya kepada pengadu tentang bilik kosong, pengadu kemudiannya memberitahu kepada lelaki tersebut bahawa hotel telah penuh.

“Suspek sebaliknya tidak berpuas hati sambil marah-marah dan pergi ke kawasan meletak kenderaan awam di hadapan hotel tersebut sambil membawa sebuah topi keledar berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi di sini.

Hang Seng berkata, semasa menunggu kehadiran polis, pengadu terdengar bunyi seperti hentakan kuat di kawasan meletak kenderaan itu.

“Pengadu bertindak mengintai dari cermin tingkap hotel dan mendapati cermin beberapa buah kenderaan telah dipecahkan termasuk cermin kereta milik pengadu.

“Lelaki berkenaan masih berlegar di kawasan parkir sambil memegang topi keledar terbabit sebelum ditahan tidak lama kemudian termasuk merampas topi keledar digunakannya dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua mangsa telah membuat laporan polis dan rakaman percakapan telah diambil,” katanya yang memaklumkan suspek direman selama empat hari hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.