fbpx

6 Mac 2021, 12:53 pm

  TERKINI

Minum arak di pusat kuarantin tindakan biadab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menganggap tindakan beberapa individu minum arak di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah di Sabah tidak sensitif dan biadab.

Presidennya, Adnan Mat menyifatkan perbuatan itu seolah-olah tidak menghormati petugas barisan hadapan dan mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka.

“Cuepacs mengecam tindakan sekumpulan individu yang bertindak meminum arak di sebuah pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah di Sabah melalui satu rakaman video yang tular semalam. Cuepacs menyifatkan tindakan kumpulan individu tersebut sangat biadab sedangkan petugas barisan hadapan sedang sibuk menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Cuepacs gesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada pelaku terbabit yang sememangnya jelas sengaja melanggar undang-undang. Tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain yang berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan kita sedang berhadapan dengan satu perkara yang remeh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam video berdurasi 12 saat itu, seorang lelaki dipaparkan memegang tin minuman keras sambil berbual dengan beberapa pesakit lain.

Menurut laporan sebuah portal, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr. Christina Rundi berkata, minum arak tidak dibenarkan di semua pusat rawatan dan rawatan berisiko rendah di negeri itu.

Selain itu, Adnan yang kecewa dengan perbuatan itu mahu pihak yang membantu beberapa individu tersebut membawa masuk minuman keras itu turut dikenakan tindakan tegas.

“Cuepacs juga mahu tindakan diambil kepada pihak yang terlibat membawa, membekalkan atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit yang dirawat.

“Sekiranya ada penglibatan oleh pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE