MFA perkenal polisi baharu untuk pekerja asing du Muar

Covid-19: MFA perkenal polisi baharu untuk pekerja asing

STEVE Ong (duduk, kanan) bersama Boon Long (duduk, kiri) mengadakan sidang media mengenai polisi baharu melibatkan pekerja asing dalam industri perabot di daerah Muar, Johor hari ini. - FOTO/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Susulan pertambahan kes Covid-19 yang membabitkan kawasan perindustrian perabot, Persatuan Perabot Muar (MFA) menggalakkan agar lebih ramai pengusaha dan majikan untuk meningkatkan kawalan kendiri bagi membendung penularan jangkitan.

Presiden MFA, Steve Ong berkata, setakat ini seluruh kawasan perindustrian di Parit Jamil telah bersepakat melaksanakan polisi baharu dengan menghadkan segala aktiviti luar melibatkan pekerja asing di situ.

“Pengusaha kilang dan majikan di Parit Jamil akan memperketatkan undang-undang berkaitan aktiviti keluar masuk warga asing. Ia ekoran kawasan itu mempunyai hampir 30 buah kilang perabot dengan kapasiti pekerja asing seramai lebih 3,000 orang.

“Apa yang kita faham, warga asing ini sangat mudah untuk dipinjamkan dari sebuah kilang ke kilang yang lain. Justeru, ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan kumpulan pekerja asing di Parit Jamil akan terus kekal di kawasan mereka,” katanya dalam sidang media di MFA hari ini.

Menurut beliau, situasi penularan kes Covid-19 di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir sedikit sebanyak menjejaskan gerak kerja kumpulan itu sekali gus memberikan kebimbangan kepada semua pengusaha kilang dan majikan di Muar.

“Justeru, hasil perbincangan bersama kami, pihak jawatankuasa di Perindustrian Parit Jamil bersetuju untuk melarang pekerja asing daripada keluar ke tempat lain. Rutin mereka hanya melibatkan asrama dan kilang semata-mata.

“Tiada dibenarkan pulang ke asrama ketika waktu rehat dan oleh itu, mereka dikehendaki membawa bekalan makanan daripada awal pagi. Untuk tambahan masa kerja (overtime) majikan akan menyediakan bekalan makanan yang dibeli daripada luar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Chua Boon Long berkata, rondaan daripada RELA juga akan disediakan bagi memastikan pekerja asing kekal berada di zon masing-masing.

“Ini bukan tindakan tidak berperikemanusiaan, namun ia sebagai langkah untuk memutuskan rantaian jangkitan melibatkan pekerja asing. Kita juga tak mahu jika mereka dijangkiti daripada orang awam di luar.

“Selain itu, ia bagi memastikan penduduk kampung berasa selamat dan jika ada kes covid-19 di sekitar sini, pekerja asing tidak akan dianggap sebagai punca. Harapan kita agar pihak berkuasa dapat memberikan sokongan atas tindakan baharu yang diambil oleh kumpulan industri perabot. 

“Kita juga mengharapkan kerajaan untuk bertindak tegas dengan melaksanakan apa jua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana jika dilihat indeks kes semakin hari semakin buruk berbanding daripada awal penularan dahulu yang berjaya dikawal oleh negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.