MAQIS Kelantan rampas 1.34 tan keluaran pertanian tiada permit import - Utusan Malaysia

MAQIS Kelantan rampas 1.34 tan keluaran pertanian tiada permit import

ANGGOTA MAQIS Kelantan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori menerusi Operasi Pematuhan Import Pertanian yang dijalankan MAQIS Kelantan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan merampas pelbagai jenis keluaran pertanian seberat 1.34 tan yang tidak mempunyai permit dan gagal mematuhi syarat import, semalam.

Rampasan bernilai RM9,124 itu dilakukan menerusi Operasi Pematuhan Import Pertanian yang dijalankan MAQIS Kelantan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Pengarah MAQIS Kelantan, Roslan Che At berkata, dalam operasi selama dua jam yang bermula pukul 5 petang itu, pihaknya merampas hasil pertanian seperti cili padi, lengkuas, pisang, ubi keledek dan daun limau purut.

Menurutnya, rampasan itu dilakukan selepas MAQIS Kelantan berjaya menahan tiga buah lori yang membawa barangan tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita dapati kesemua lori itu tidak mempunyai permit import yang sah daripada MAQIS dan tidak mematuhi syarat import yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan memberitahu, MAQIS Kelantan sentiasa memandang serius dan tindakan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara akan terus diperkasakan dari masa ke masa bagi memastikan jaminan keselamatan makanan terpelihara daripada sebarang penyakit.

“MAQIS Kelantan juga mahu memastikan keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN