Lokasi baharu terminal feri Kuala Perlis ? - Utusan Malaysia

Lokasi baharu terminal feri Kuala Perlis ?

KEPADATAN penumpang di terminal feri Kuala Perlis sejak sekian lama.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kerajaan negeri telah meminta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melaksanakan kajian mengenai kesesuaian bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk mengalihkan terminal feri penumpang tetapi masih di dalam kawasan Kuala Perlis.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, cadangan terminal baharu tersebut berikutan masalah pemendapan yang begitu cepat di terminal sedia ada yang memakan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Katanya, maklumat awal daripada kajian tersebut dijangka diperoleh dalam masa setahun lagi.

“Kajian ini sedang dijalankan dan ia membabitkan dua pendekatan iaitu sama ada dalam bentuk penglibatan sektor swasta dan pendekatan kedua adalah kerajaan sendiri membina terminal tersebut melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kerajaan negeri ada membuat permohonan untuk mendapatkan peruntukan dibawa RMK-12 tetapi belum tahu sama ada diluluskan atau tidak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 24 Disember lalu, akhbar ini melaporkan Konsortium Ferry Line Ventures mendakwa pihak pengurusan feri terpaksa mengehadkan pelayaran feri dari terminal tersebut ke Pulau Langkawi akibat alur pelayaran cetek sejak 10 tahun lalu.

Bagi mengatasi masalah terbabit, syarikat tersebut mencadangkan Kuala Sanglang sebagai kawasan jeti baharu bagi tempoh jangka masa panjang.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, Azlan memberitahu, terminal feri terbabit merupakan nadi kepada industri di Kuala Perlis dan jika ia dialihkan ke kawasan lain, pekan tersebut akan menjadi separuh lumpuh.

“Nadi kepada Kuala Perlis adalah bergantung kepada jeti penumpang dan jeti ikan. Kedai makan dan makanan laut itu adalah sampingan sahaja. Jika kedua-dua ini tidak ada, perniagaan di Kuala Perlis boleh mati.

“Kami faham dengan fenomena air pasang surut dan juga pemendapan yang semakin cepat di muara sungai. Memang ada kerja pengorekan laut yang dilaksanakan oleh Jabatan Laut sepanjang untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak akan memindahkan terminal penumpang ke Kuala Sanglang tetapi perkhidmatan RORO (perkhidmatan kapal atau feri yang boleh membawa kenderaan) akan dipindahkan ke Jeti Bersepadu di Sanglang apabila siap nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya