PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) yang berehat panjang tidak wajar dijadikan faktor kegagalan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang tewas kesemua tiga perlawanan Kumpulan D Piala Asia B-23
Kegagalan anak-anak buah Juan Torres Garrido menampakkan kelemahan dalam aspek perancangan skuad B-23, sekali gus memberikan kesan kepada pemain dan imej negara khususnya pembangunan bola sepak.
Ketika negara-negara jiran seperti Indonesia cemerlang di Piala Asia B23, skuad negara pula terpaksa pulang lebih awal dan paling memeritkan gagal membawa pulang sebarang mata dan hanya menjaringkan satu gol di kejohanan itu.
Bekas penyerang Harimau Malaya, Nizaruddin Yusof berkata, perubahan jadual Liga M wajar dimanfaatkan untuk mengumpulkan pemain ke latihan pusat lebih lama, merangka persiapan rapi dan mengadakan persahabatan menentang pasukan lebih berkualiti.
“Nampak macam tidak ada persiapan yang bagus, masa kelayakan jurulatih lain dan ketika pertandingan sebenar jurulatih lain. Mungkin juga pemain sedang dalam proses untuk memahami cara yang diterapkan oleh Garrido.
“Daripada awal kita layak patutnya kekalkan jurulatih, selepas itu kita aturkan persiapan lebih rapi dan lawan pasukan berkualiti. Sebelum pertandingan pun kita tidak persiapkan diri dengan menentang lawan lebih baik dan ia jelas berbeza dengan Uzbekistan yang ada menentang Sepanyol (B-21).
“Memang liga belum mula tetapi rugi sebenarnya kita tidak mulakan persiapan lebih lama. Kita kumpulkan pemain, selepas itu kita laburkan sedikit modal untuk pergilah ke mana-mana destinasi dan cuba aturkan persahabatan berkualiti,” katanya.
Bekas pemain Kuala Lumpur, Selangor dan Perlis itu juga tidak menafikan inilah realiti yang harus ditelan kerana pasukan tiada persiapan lebih baik dan pada akhirnya pemain yang menerima tempias daripada situasi sekarang.
Bagaimanapun, Nizaruddin juga mahu pemain belajar untuk menyalahkan diri sendiri kerana tidak memanfaatkan pertandingan ini untuk meningkatkan ‘saham’ masing-masing.
“Zaman saya tidak ada pertandingan ini dan apabila pemain tidak ambil peluang ini, mereka juga boleh salahkan diri sendiri. Kalau tengok komen peminat memang ditujukan kepada pemain kerana mereka bukan bermain dengan kelab biasa-biasa.
“Namun tidak adil untuk kita salahkan seluruh pasukan kerana masih ada beberapa pemain yang bagi saya agak menyerlah seperti Haqimi Azim Rosli, Noaa Laine dan Azim Al Amin.
“Sepatutnya di pertandingan besar seperti inilah mereka pamer aksi maksimum untuk ‘jual diri’ kerana sekarang orang luar mula pandang Malaysia,” katanya.-UTUSAN










