Koperasi terjejas banjir boleh mohon RM30,000 - Abdul Fatah

Koperasi terjejas banjir boleh mohon RM30,000 – Abdul Fatah

ABDUL Fattah Abdullah (dua dari kiri) melibat buku sekolah yang rosak ekoran kejadian banjir di SMK Orang Kaya Haji di Lipis, Pahang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Koperasi yang terjejas akibat banjir baru-baru ini boleh memohon peruntukan daripada Tabung Bantuan Kecemasan dengan nilai maksimum RM30,000 bagi menampung kerugian yang dialami akibat musibah berkenaan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempunyai dana khas bagi membantu semua jenis koperasi yang terjejas akibat banjir.

Katanya, menerusi bantu­an itu, ia dapat digunakan bagi membaiki bangunan atau membeli peralatan baharu un­tuk memulakan urus niaga koperasi.

“Banjir yang melanda semua daerah di Pahang kecuali Ca­meron Highlands menyebabkan koperasi termasuk koperasi sekolah terjejas dan rosak teruk.

“Ini kerana banjir kali ini dikatakan di luar jangka berlaku begitu cepat di samping keka­ngan pandemik Covid-19 yang melanda negara,” katanya kepa­da Utusan Malaysia selepas program gotong-royong membersihkan bilik koperasi Sekolah Me­nengah Kebangsaan (SMK) Orang Kaya Haji di sini semalam.

Abdul Fattah berkata, dalam kejadian banjir di SMK Orang Kaya Haji, barangan milik ko­perasi sekolah berkenaan se­perti peralatan sekolah, buku-buku, pakaian sukan, mesin fotostat dan komputer musnah ditenggelami air bah.

Sementara itu, Pengarah SKM Pahang, Norazlan Anuar berkata, pihak koperasi perlu membuat laporan polis, bukti bergambar dan dokumen sokongan sebelum menghantar permohonan bantuan ber­kenaan.

“Pihak SKM telah turun ke lapangan dan mengenal pasti 40 koperasi terbabit banjir yang mengalami kerugian lebih RM2 juta keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Orang Kaya Haji, Kamaluddin Ibrahim berkata, dianggarkan sekolah itu mengalami kerugian kira-kira RM600,000 akibat kerosakan peralatan.

“Pihak sekolah akan membuat permohonan kepada SKM mengikut prosedur ditetapkan supaya bantuan diperoleh boleh dijadikan modal awal memulakan kembali perniagaan koperasi sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya