Kelantan, Bahagian Sibu dikenakan PKP mulai esok

Kelantan, Bahagian Sibu dikenakan PKP bermula esok

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelantan dan Bahagian Sibu di Sarawak menyertai lima negeri lain dan semua tiga Wilayah Persekutuan apabila dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hasil penilaian risiko dan nasihat dikemukakan Kementerian Kesihatan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“Justeru, kerajaan bersetuju pelaksanaan PKP dikenakan bermula 16 Januari ini sehingga 26 Januari depan,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabat kementeriannya dekat sini hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas mengumumkan PKP 2.0 cuma meliputi Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah.

Ia turut melibatkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selama tempoh dua minggu yang berkuat kuasa mulai kelmarin sehingga 26 Januari depan.

Sementara Kelantan ketika pengumuman itu termasuk dalam senarai enam negeri lain yang dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala Sarawak pula hanya PKP Pemulihan (PKPP).

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat 14 Januari lalu, sejumlah 1,649 kes positif direkodkan di seluruh Kelantan dan sejak 10 Januari, secara purata 100 kes baharu dicatat.

“Malah, kes aktif turut meningkat mendadak dalam tempoh 14 hari daripada 328 kepada 891 kes dengan 90 peratus daerah di Kelantan kini dalam zon merah dan jingga,” jelas beliau.

Ini ujarnya melibatkan tujuh daerah dalam zon merah iaitu Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah manakala dua daerah lagi dalam zon kucing.

Ia membabitkan Pasir Puteh dan Pasir Mas sementara baki satu daerah, masih lagi dalam zon jingga iaitu Jeli. Lebih dua juta penduduk di Kelantan terbabit dalam pelaksanaan PKP 2.0 itu.

Dalam pada itu, Bahagian Sibu juga dikenakan PKP sekali lagi susulan penilaian Kementerian Kesihatan yang mendapati berlaku peningkatan secara mendadak dalam tempoh 14 hari.

“Kebanyakan kes positif baharu dari Kluster Pasai yang merekodkan 394 kes dan melibatkan sebanyak 18 buah rumah panjang yang bertaburan di seluruh bahagian ini,” jelas Ismail Sabri.

PKP itu membabitkan ketiga-tiga daerah dalam bahagian ini iaitu Sibu, Selangau dan Kanowit bermula esok hingga 29 Januari dengan jumlah penduduk dianggarkan lebih 300,000 orang.

Prosedur operasi standard ketika PKP 2.0 kata beliau, sama seperti yang diumumkan sebelum ini dengan maklumat terperinci boleh dirujuk terus melalui laman sesawang rasmi MKN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya