Jenazah Tun Mohamed Salleh selamat disemadikan - Utusan Malaysia

Jenazah Tun Mohamed Salleh selamat disemadikan

PETUGAS Jabatan Kesihatan Terengganu yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) menguruskan pengebumian Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas, 91, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara di sini kira-kira pukul 10.40 pagi ini. 

Jenazah Allahyarham dikebumikan di sebelah pusara isterinya, Allahyarhamah Toh Puan Azimah Mohd. Ali yang meninggal dunia pada 2015.

Allahyarham yang merupakan pesakit Covid-19 menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira pukul 3.20 pagi ini. 

Terdahulu, jenazah dibawa ke tanah perkuburan itu pada pukul 10.15 pagi dengan diiringi petugas kesihatan yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE). 

Urusan pengebumian Allahyarham Mohamed Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut itu dikendalikan kakitangan Jabatan Kesihatan Terengganu. 

Beberapa ahli keluarga Allahyarham turut berada di tanah perkuburan itu. 

Allahyarham yang merupakan Ketua Hakim Negara dari tahun 1984 hingga 1988 meninggalkan isteri, lima anak dan 26 cucu. 

Sementara itu, menantunya, Wan Pauzi Yahya berkata, Allahyarham bapa mentuanya dimasukkan ke HSNZ Khamis lalu selepas disahkan positif Covid-19.

“Allahyarham sudah membuat wasiat sekiranya meninggal dunia mahu dikebumikan di sebelah pusara isterinya. 

“Mewakili ahli keluarga saya berharap pemergian bapa mertua  boleh meninggalkan legasi yang baik termasuk karya-karya penulisannya terus dipelihara bagi tatapan generasi akan datang,” katanya. 

Allahyarham Mohamed Salleh juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih mewakili Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) pada 1999.

Allahyarham juga merupakan antara  yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya