‘Hujah hanya setaraf pemikiran pisang goreng’ - Utusan Malaysia

‘Hujah hanya setaraf pemikiran pisang goreng’

KHAIRY JAMALUDdIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Khairy Jamaluddin menyelar Datuk Seri Ahmad Maslan yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan Perikatan Nasional (PN) kerana masih meneruskan kes mahkamah ke atas ramai tokoh UMNO.

Bekas Ketua Pemuda parti itu dalam nada sinis menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO tersebut di ibu negara baru-baru ini sebagai hanya standard pemikiran pisang goreng.

“Kalau kita (UMNO) tidak mahu sokong sebab kerajaan PN enggan mencampuri kes mahkamah yang dihadapi ramai pemimpin UMNO, itu sudah taraf pemikiran pisang goreng,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Malaysia Grand Challenge di kementeriannya di sini, hari ini.

Kelmarin, Ahmad yang turut merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mendakwa antara punca UMNO ‘marah’ PN kerana meneruskan pendakwaan terhadap tokoh parti itu.

Kerajaan sedia ada ujarnya, didakwa menyambung ‘kezaliman’ era Pakatan Harapan dengan membiarkan kes mahkamah kepada ramai pemimpin UMNO meskipun ia jelas berbaur politik.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, alasan dikemukakan Ahmad itu langsung tidak berkualiti sambil memberikan analogi lucu sebagai cuma bertaraf pisang goreng yang sedap dimakan ketika panas.

“Dulu, jika ada sesiapa yang cuba bagi sebab remeh sebegini, mungkin kita gelar orang itu sebagai pemikiran lobak, tapi sekarang saya ubah kepada pisang goreng pula,” sindirnya lagi.

Beliau dalam pada itu turut senada dengan Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa akar umbi UMNO juga tidak bersetuju parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa ini.

Ujarnya, selaku menteri bertanggungjawab dalam urusan vaksinasi wabak Covid-19, situasi ketika ini berdasarkan data semasa menunjukkan kadar kebolehjangkitan masih lagi tinggi.

“Ini satu lagi taraf pemikiran pisang goreng dan desakan segelintir ahli politik terbabit mahu PRU diadakan segera saya anggap tidak bertanggungjawab,” katanya

Malah, Khairy menyifatkan hujah kelompok itu dengan merujuk kejayaan PRU di Singapura dan New Zealand sebagai perbandingan tidak sepadan terutama dari segi skala populasi.

Apatah lagi katanya, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengundi Malaysia agak rendah dan boleh dilihat ketika proses Pilihan Raya Negeri Sabah.

Justeru, beliau berpendapat, belum sesuai masanya untuk dibubarkan Parlimen kerana langkah itu boleh mengundang ancaman risiko kesihatan awam kepada majoriti besar rakyat.

“Ahli politik yang desak mahu PRU itu, saya lihat di akaun Facebook mereka pun tidak ikut SOP memakai pelitup muka malah bebas bersalaman dengan ramai orang,” katanya sinis.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya