Dakwaan Aman Shah sistem perbankan lemah tidak berasas - Polis - Utusan Malaysia

Dakwaan Aman Shah sistem perbankan lemah tidak berasas – Polis

AMAN SHAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan bekas penggodam dan pakar teknologi maklumat, Aman Shah Ahmad tentang kelemahan sistem perbankan negara disifatkan sebagai satu rumusan yang tidak berasas serta tidak tepat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, bekas penggodam itu bukanlah pihak berkuasa atau seseorang yang mempunyai kredibiliti untuk menilai sistem perbankan negara.

“Dakwaan itu tidak melambangkan ketepatan dan ia satu rumusan yang tidak sepatutnya keluar daripada dia (Aman Shah) kerana dia hanya seorang pegawai bank biasa sahaja pada tahun 90-an.

“Saya tidak pasti seramai mana yang mempercayai apa yang dia katakan kerana dia bukan orang yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ujar Zainuddin, institusi perbankan negara ini mempunyai sistem keselamatan yang hebat yang mampu menjaga kepentingan pendeposit dan pelabur awam.

“Jika terdapat kelemahan (dalam sistem perbankan), mungkin hanya sebahagian kecil dan itu pun masih boleh diatasi. Oleh itu, apabila dia mengatakan sistem perbankan kita lemah, perlu ada asas yang menyokong kenyataan itu,” jelasnya.

Tambahnya, sekiranya terdapat mana-mana pihak perbankan yang menghubungi Aman Shah untuk penjelasan lanjut mengenai dakwaannya, itu merupakan inisiatif institusi kewangan tersebut kerana pihak JSJK hanya akan menyiasat sekiranya terdapat laporan mengenai isu godam dan sebagainya.

Dalam wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia pada 20 Disember tahun lalu, Aman Shah, 54, mendakwa terdapat kelompongan struktur keselamatan bank termasuk tindakan menjimatkan kos dengan menggunakan perisian (software) serta program bersifat terbuka (open source) yang memberi risiko kepada institusi kewangan digodam.

Semalam, bekas penggodam itu dilaporkan berkata, beliau dihubungi ramai ahli perbankan termasuk wakil menteri bagi mendengar penjelasan mengenai dakwaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×