fbpx

6 Mac 2021, 2:33 pm

  TERKINI

Bayaran fasa terakhir BPN 2.0 dipercepat mulai 21 Januari

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan meneruskan usaha  bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),  terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung  kepada upah harian. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu difokuskan dalam matlamat kedua memelihara kebajikan rakyat di bawah pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai).

Menurut beliau, di bawah pakej KITA PRIHATIN yang diperkenalkan tahun lalu,  bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) akan  dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari dengan  sejumlah 11.1 juta penerima akan  mendapat bayaran sebanyak RM2.38 bilion.

Bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pula, jelas beliau, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih lapan juta penerima dengan golongan isi  rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan menerima RM300 dan bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan pula menerima RM150 . 

“Di bawah Belanjawan 2021, kerajaan telah meningkatkan kadar  bantuan kebajikan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) berkuat kuasa mulai bulan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion dan akan  memanfaatkan lebih daripada 400,000 penerima. 

“JKM juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi  setiap isi rumah yang layak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta,” katanya dalam perutusan Pakej Bantuan Khas, hari ini. 

Selain itu, Muhyiddin berkata, bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus  terpelihara, kerajaan memperuntukkan RM25 juta  di bawah  program GLIC/GLC Disaster Relief Network sebagai geran padanan  bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi inisiatif sosial. 

Katanya, ini termasuklah  pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga emas,  gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan mangsa banjir.

“Sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni rakyat yang ingin  bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi mengekang penularan  wabak Covid-19, kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif  dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang  wang tunai atau barangan serta membantu rakyat yang terkesan  dengan wabak tersebut. 

“Penyumbang tersebut layak menuntut potongan  cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat  mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE