Batal jika pindah milik tanah yang diseleweng - JTM

Batal pindah milik tanah diseleweng

MOHD. AZMI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dakwaan seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Perak dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan perlu disiasat malah jika perlu libatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu ditegaskan sebuah jaringan kebangsaan menangani pelbagai isu tanah milik orang Melayu sama ada tanah rizab Melayu mahupun tanah orang Melayu bukan tanah rizab dikenali Jaringan Bertindak Tanah Pemilikan Melayu (JTM) yang menyatakan rasa kesal jika dakwaan itu benar.

Presiden JTM, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, jika benar berlaku penyelewengan pindah milik tanah rizab Melayu melibatkan sindiket yang didakwa didalangi oleh pegawai kerajaan, maka kerajaan negeri perlu membatalkan kelulusan hak milik tanah tersebut.

Kata beliau, sebaliknya jika tanah rizab Melayu itu dipindah milik mengikut lunas undang-undang, maka ia perlu digantikan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya tidak pasti kebenaran dakwaan tersebut tapi mungkin disertakan dengan bukti-bukti yang dia ada. Kalau benar, pindah hak milik tanah itu harus dibatalkan tapi kalau ia mengikut lunas undang-undang, maka kerajaan perlu menggantikannya mengikut Perkara 89 Perlembagaan.

“Apa pun, dakwaan itu serius dan kalau benar berlaku ia sangat dikesali. Kalau perlu siasatan, hantar SPRM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mingguan Malaysia semalam menyiarkan laporan eksklusif Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang mendakwa mendakwa seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Perak dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket yang didakwa didalangi oleh pegawai kerajaan.

Hamidan berkata, Putra Perak pernah membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat sama ada berlaku sebarang salah laku terhadap pemberi milikan lot-lot tanah rizab Melayu ini.

Mohd. Azmi turut menyatakan kebimbangan terhadap dakwaan tersebut yang menunjukkan tanah rizab Melayu semakin tergugat sama ada akibat penyeleweng atau dikeluarkan daripada warta enakmen rizab Melayu.

Menurutnya, ia juga menunjukkan tanah rizab Melayu sudah tidak terjamin mengikut keluasan yang sepatutnya.

“Kalau pentadbiran tanah rizab Melayu dijaga dengan rapi dan pengurusannya telus dan berintegriti, sudah tentu seperti insiden ini tak berlaku,” katanya.

Mohd. Azmi turut meminta kajian semula dilakukan terhadap nilai sebenar tanah rizab Melayu yang selama ini dikategorikan bernilai rendah kerana terletak di luar bandar atau desa.

Beliau berkata, namun selepas hampir 64 tahun merdeka, keadaan sudah berubah yang mana banyak tanah rizab Melayu kini bernilai tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN