fbpx

Bantuan one-off RM500 bagi 14,000 pemandu pelancong, 118,000 pemandu 

MUHYIDDIN Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bantuan kewangan one-off sebanyak  RM500 akan disediakan kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu  teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu bagi meringankan beban golongan itu di bawah pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai). 

Menurut Perdana Menteri, kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais  dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan  persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun.  

Namun demikian, Perdana Menteri berkata, syarat itu dilonggarkan kepada lima tahun, mulai 1 Januari hingga 31 Disember depan.

Bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ujar Perdana Menteri, kerajaan  akan mempercepatkan pelaksanaan skim-skim mikrokredit,  sepertimana yang pernah diumumkan sebelum ini. 

“Sejumlah RM1 bilion kemudahan mikrokredit disediakan merangkumi pinjaman  mudah berjumlah RM390 juta oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 juta oleh TEKUN. 

“Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen  e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta melalui kempen tersebut,  usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli  akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam talian,” katanya dalam perutusan Pakej Bantuan Khas, hari ini.  

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Di bawah PENJANA, kerajaan telah mengumumkan Skim  Jaminan PRIHATIN Danajamin (SJPD) yang berjumlah RM50 bilion bagi menyokong sektor swasta untuk terus berkembang dan  merancakkan ekonomi negara.

Sebagai langkah penambahbaikan, katanya, kerajaan meningkatkan pembiayaan maksimum dari RM500 juta  kepada RM1 bilion; memperluaskan skop pembiayaan kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun dan membenarkan syarikat milik asing yang beroperasi di  Malaysia untuk mendapat jaminan SJPD dengan syarat  jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang kurangnya 75 peratus. 

Kata beliau, kerajaan berharap agar  penambahbaikan SJPD ini akan dapat menjana  pertumbuhan sektor swasta dan juga mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan. 

“Bagi peminjam Majlis Amanah Rakyat (Mara), agensi itu akan meneruskan program MARA  PRIHATIN Peace of Mind 2.0, di mana peminjam boleh memohon untuk  membuat penjadualan semula bayaran balik kemudahan pinjaman  pelajaran MARA atau moratorium pinjaman sehingga 31 Mac ini.  

“Sebagai tambahan, usahawan Mara yang terkesan akibat Covid-19, PKP dan bencana banjir boleh membuat Program Penjadualan Semula  Pembiayaan Perniagaan Mara,” katanya.

Muhyiddin turut memberitahu, bagi penyewaan premis  perniagaan, Mara bersetuju untuk memberi diskaun 30 peratus  bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April ini 

Bagi mengurangkan bebanan PKS, katanya, kerajaan memberi  potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa  premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus mulai 1 April  hingga 31 Mac ini. 

Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, kata Perdana Menteri, potongan khas itu akan diperluaskan meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat bukan PKS dan tempoh potongan khas dilanjutkan sehingga 30 Jun ini. 

“Selain itu, Pembangunan Sumber  Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan bagi syarikat yang  tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan PKPB,” katanya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI