Anwar perlu disiasat kerana menghasut - Utusan Malaysia

Anwar perlu disiasat kerana menghasut

KAMARUL ZAMAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak polis dan pendakwa raya perlu memandang serius dengan menyiasat dan mengemukakan kertas pertuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan 13 laporan polis dibuat di seluruh negara ke atas Ketua Pembangkang itu kerana menghasut serta mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, adalah mengejutkan seorang Ahli Parlimen menggesa semua ahli Dewan Rakyat lain mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membatalkan Pengisytiharan Darurat.

Ekoran itu, katanya, banyak suara semakin lantang bergema bagi menentang Pengisytiharan Darurat itu dan mendesak Seri Paduka Baginda untuk membatalkannya.

“Selaku tokoh yang membentangkan rang undang-undang di Parlimen pada 9 Mei 1994 bagi mewajibkan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima dan bertindak mengikut nasihat bila-bila sahaja dinasihati Jemaah Menteri, Anwar wajib tahu bahawa tindakan Seri Paduka Baginda itu adalah tepat.

“Apatah lagi mengikut Perkara 150 (8) (a) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa hal puas hati Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Anwar mencadangkan agar semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Seri Paduka Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa bahawa beliau sudah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen supaya berbuat demikian dalam kadar segera.

Rentetan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis terhadap beliau kerana dipercayai melakukan hasutan kepada ahli Parlimen supaya menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong itu

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, adalah sangat tidak patut bagi seorang bekas Timbalan Perdana Menteri menzahirkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong serta cuba menimbulkan huru-hara dengan menggesa pihak-pihak lain mencabar atau mempersoalkan Pengisytiharan Darurat.

Katanya, tindakan Anwar yang selepas itu memadamkan kenyataan media yang dibuat pada 14 Januari lalu dari akaun Facebook beliau setelah ia tersebar ke serata pelosok negara adalah seumpama satu pengakuan bahawa beliau telah melakukan kesalahan.

Ini kerana, katanya, jika Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak merasakan bahawa kenyataan yang menggesa semua Ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pengisytiharan darurat tidak salah, mengapa beliau memadamkannya?

“Ramai kawan-kawan saya di dalam bidang perundangan, termasuk sarjana-sarjana di bidang ini dan bekas-bekas hakim ternama negara juga menyatakan bahawa tindakan mencabar atau mempersoalkan pengisytiharan darurat merupakan satu kesalahan.

“Disebabkan besarnya impak tindakan begini ke atas ketenteraman negara, maka memang sepatutnyalah laporan polis begini dibuat dan tindakan segera diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong tidak tergugat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya