fbpx

5 Ogos 2021, 3:34 pm

  TERKINI

Air Terjun Tanjung Batu, Perak  tidak terjejas

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gambar tular dikongsi pelbagai pihak dalam media sosial yang memaparkan kerosakan Air Terjun Tanjung Batu di Teluk Sera, Perak adalah kurang tepat dan mengelirukan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hasil siasatan mendapati kawasan rekreasi itu masih lagi berada dalam keadaan yang amat baik.

“Tempat ini juga tiada kaitan pun dengan kawasan yang terjejas teruk akibat aktiviti projek kuari dekat Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau mengulas penyebaran gambar oleh warganet menerusi media sosial selain paparan di sebuah akhbar tempatan yang menunjukkan kononnya imej air terjun popular di situ rosak.

Perkara itu turut diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin dalam kenyataan media di Ipoh hari ini.

Sebaliknya, foto berkenaan merujuk kepada alur air bermusim yang muncul ketika hujan lebat hasil takungan di kawasan setinggi 200 meter dalam zon Blok H di Hutan Simpan Segari.  


Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata,  pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah pun membuat siasatan terperinci dan mendapati gambar yang tular itu sebagai tidak berasas.

“Bagaimanapun saya mengingatkan semua penggerak projek agar mematuhi semua syarat dan mengambil serius dalam mencegah pencemaran akibat aktiviti pembangunan,” katanya.

Beliau bahkan menyeru masyarakat untuk berani tampil melaporkan kegiatan yang cemar alam sekitar kepada talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected].

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan Perintah Berhenti Kerja di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan pada 20 Januari lalu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.

Notis Arahan di bawah akta sama juga dikeluarkan untuk penggerak projek kuari membaik pulih termasuk kerja pengawasan kualiti air dan menyerahkan laporan kepada JAS negeri.

“Ia hasil siasatan pasukan penguat kuasa JAS bersama Jabatan Perhutanan dan Pejabat Exco Alam Sekitar Perak selama tiga hari bermula 18 Januari lalu.” jelas Tuan Ibrahim lagi.

Pemantauan udara dengan menggunakan dron juga dilakukan bagi melihat keseluruhan kawasan diteroka yang menunjukkan kegagalan dalam pengurusan sisa kayu dan tanah.

Keadaan itu katanya, mengakibatkan lebihan beban terjatuh masuk ke dalam sungai serta penggerak projek didapati tidak mengikut pelan yang telah diluluskan pihak JAS sebelum itu.

Siasatan awal turut mendapati pemaju kuari tidak mematuhi enam syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan gagal maklumkan kepada JAS apabila kerja tanah dimulakan. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI