Air Terjun Tanjung Batu: Kemusnahan mesti dipulihkan - Utusan Malaysia

Air Terjun Tanjung Batu: Kemusnahan mesti dipulihkan

NOOR Ismady Ahmad Radzuan bercakap kepada pemberita ketika meninjau Air Terjun Tanjung Batu yang musnah akibat kegiatan kuari dekat Manjung baru-baru ini. - PEMBERITA dan GAMBAR: SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kemusnahan yang berlaku akibat kegiatan kuari tanpa pemantauan ketat di Hutan Simpan Segari Melintang dekat Manjung mesti dipulihkan meskipun ia didakwa hanya membabitkan alur air yang muncul ketika hujan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (Kuasa), Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, walau apa pun keadaanya, kemusnahan memang sudah berlaku dan ia disahkan sendiri Jabatan Alam Sekitar (JAS) di mana kontraktor yang bertanggungjawab gagal mematuhi enam perkara membabitkan Laporan Penilaian Lesan Alam Sekitar (EIA).

Beliau berkata, pihaknya mengakui mungkin berlaku kesilapan ketika isu Air Terjun Tanjung Batu di kawasan hutan simpan berkenaan mula tular mengenai kedudukan air terjun kerana terdapat dua air terjun bersebelahan di kawasan itu sebagaimana didakwa penduduk setempat.

“Untuk mengatakan ia hanya alur air yang muncul selepas hujan adalah tidak munasabah, kerana air di kawasan itu tetap mengalir walaupun ketika musim kering, kawasan berair juga bertingkat.

“Orang kampung memanggil kawasan itu sebagai Tanjung Batu, tetapi ada juga yang memanggilnya sebagai Teluk Sera, di situ ada kekeliruan oleh penggiat alam sekitar dan penduduk kampung, gambar tersebar adalah di lokasi yang tak terjejas.

“Apa pun, kawasan yang media dibawa melawat memang berlaku kemusnahan teruk dan ia diakui sendiri oleh JAS ” katanya di sini hari ini.

Noor Ismady turut tidak menolak kemungkinan akan ada lebih ketidakpatuhan jika pemeriksaan lanjut dijalankan di kawasan itu.

“Untuk mengatakan kawasan air terjun berkenaan tidak terjejas juga tidak logik kerana kami ada rekod dan ada membuat laporan pada 2017 yang menyatakan sudah ada kerosakan berlaku di kawasan itu.

“Mungkin pihak Exco kerajaan negeri dan Kementerian Alam Sekitar dan Air tiada maklumat tetapi mereka boleh memeriksa perkara itu melalui agensi yang berkenaan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin dalam kenyataannya mendakwa Air Terjun Tanjung Batu masih terpelihara dan langsung tidak terjejas kerana ia bukan sebahagian daripada tapak kuari di dalam Hutan Simpan Segari Melintang.

Mohd. Akmal berkata, gambar tular menunjukkan air terjun itu terjejas, sebenarnya berpunca daripada alur air bermusim yang muncul terutama ketika hujan lebat.

Katanya, alur air itu terbentuk hasil satu takungan air di kawasan setinggi 200m dalam kawasan diberi lesen di Kompartmen 16 (Blok E), Hutan Simpan Segari Melintang.

Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan negeri untuk tidak meluluskan sebarang lesen baharu bagi aktiviti kuari berhampiran Hutan Simpan Segari Melintang yang ketika ini menimbulkan banyak kerosakan dan kemusnahan alam.

Pegawai Lapangannya, Meor Razak Meor Abd Rahman berkata, pastinya akan ada lagi beberapa pihak yang ketika ini sudah memohon kebenaran dan akan memohon kebenaran bagi menjalankan aktiviti kuari di kawasan itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya