Tidak mahu ada lagi kes panjat pokok cari Internet - Utusan Malaysia

Tidak mahu ada lagi kes panjat pokok cari Internet

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang bermula tiga bulan lalu dilaporkan berjaya menepati sasaran yang ditetapkan untuk dicapai sehingga akhir tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Jendela yang berlangsung hari ini.

“Laporan penuh untuk suku tahunan Jendela yang pertama ini sedang dimuktamadkan dan bakal diumumkan secara rasmi pada 18 Disember,” jelas beliau menerusi kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh tahap ketersediaan sambungan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi telah pun berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan pihak kerajaan sendiri.

Justeru, beliau menyambut baik pelaksanaan pelbagai projek telekomunikasi di bawah inisiatif itu terutamanya dalam usaha mengukuhkan lagi kualiti pengalaman perkhidmatan jalur lebar.

Ia ujar Saifuddin, susulan permintaan yang didapati melonjak secara mendadak di seluruh negara ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Jendela bawa aspirasi peningkatan liputan dan pengukuhan infrastruktur kesalinghubungan yang mampan dan inklusif kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk di negara ini,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, inisiatif tersebut turut mengukuhkan prasarana telekomunikasi secara menyeluruh sebagai asas teguh pengenalan teknologi 5G dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital.

Pelaksanaan Jendela jelasnya, adalah hasil perancangan dan pengawasan terperinci dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama erat pemain industri.

Malah, katanya, untuk tahun 2021, ia akan dilaksanakan lebih agresif bagi terus menambah baik pengalaman jalur lebar demi mengadaptasi norma baharu dan menggerakan ekonomi digital.

“Perancangan untuk dibina lebih banyak lagi menara baharu akan terus dipergiatkan bagi meluaskan liputan rangkaian dan mempertingkatkan kualiti kepada masyarakat.

“Ini terutama kawasan luar bandar namun kelancaran proses itu banyak bergantung kepada hemat pihak kerajaan negeri untuk menyegerakan prosedur kelulusan dan rintangan birokrasi,” tambahnya.

Oleh itu kata Saifuddin, kerjasama erat daripada semua agensi dan kerajaan negeri amat diperlukan agar masyarakat khususnya di pedalaman tidak perlu menanti agak terlalu lama.

Beliau memberi contoh ada kes penduduk yang terpaksa memanjat pokok, terjatuh jambatan, berkhemah di hutan dan sebagainya hanya untuk mendapatkan liputan internet lebih baik.

“Kerajaan Pusat melalui Belanjawan 2021 telah pun mengumumkan khidmat telekomunikasi diiktiraf sebagai utiliti ketiga wajib disedia dalam setiap rancangan pembangunan,” tegasnya.

Selanjutnya, beliau meluahkan keyakinan bahawa Jendela bakal menjadi komponen penting dalam usaha membawa kemakmuran kepada ekonomi negara dan setiap lapisan masyarakat.

Bahkan beliau di kementerian itu sendiri akan terus memantau perkembangan inisiatif ini secara dekat bagi memastikan aspirasi Jendela direalisasikan demi kesejahteraan rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya