PETALING JAYA: Bakal berkahwin kurang seminggu lagi, penyanyi dan pelakon terkenal, Ayda Jebat memberitahu, persiapan untuk hari bahagianya itu hampir siap sepenuhnya.
Bagaimanapun kongsi Ayda, memandangkan negara masih berada dalam tempoh pandemik Covid-19, dia dan tunangnya, Nabil Mahir mengambil keputusan untuk hanya mengadakan majlis pernikahan dahulu.
“Saya tidak rasa terkilan, ada orang mahu buat secara besar-besaran tetapi macam saya memang tidak ada impian majlis perkahwinan. Dalam keadaan ini kami memilih hanya untuk meneruskan yang wajib dahulu. Jadi majlis pernikahan akan berlangsung di masjid.
“Jemputan pula tidak lebih daripada 50 orang termasuk keluarga dan rakan terdekat sahaja. Untuk majlis resepsi, sepatutnya saya mahu buat pada bulan Februari nanti, namun difahamkan hotel yang saya ingin itu sudah penuh dengan tempahan. Mungkin dianjak ke Mac atau April,” katanya.
Ditanya perasaannya ketika ini, kata Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, dia sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baru hidupnya.
“Tidak ada rasa ragu-ragu, saya yakin dengan keputusan yang dibuat. Memang saya seronok untuk berkahwin.
“Soal bersedia atau tidak untuk menjadi seorang isteri rasanya bukan sesuatu yang boleh saya jawab kini sebab belum lagi melaluinya. Tetapi saya akan tetap lakukan yang terbaik selain sentiasa mendengar nasihat mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.
Ayda dan Nabil sebelum ini mengumumkan bakal berkahwin 1 Januari depan selepas mengikat tali pertunangan secara atas talian pada 28 April lalu. – UTUSAN










