Tambah sistem biometrik pada Mykad elak dipalsukan - Utusan Malaysia

Tambah sistem biometrik pada Mykad elak dipalsukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menambahkan ciri-ciri keselamatan baharu pada MyKad dengan menetapkan sistem biometrik modaliti pelbagai iaitu menggabungkan pelbagai elemen seperti cap jari, paras wajah dan juga iris mata bagi menyukarkan mana-mana pihak ‘mencuri’ identiti seseorang.

Pensyarah Kanan Jabatan Kepintaran Buatan (AI), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM), Dr. Aznul Qalid Md. Sabri berkata, langkah itu antara lain dilihat sebagai usaha bagi mengatasi masalah pemalsuan Mykad oleh sindiket dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dengan sistem ini kebarangkalian untuk ditembusi adalah rendah kerana penggodam bukan sahaja perlu meniru cap jari bahkan paras wajah dan mata seseorang. Enkripsi setiap bahagian pula adalah berbeza seolah-olah dua atau tiga lapisan yang perlu dipecahkan.

“Sekarang MyKad yang kita guna hanya berasaskan sistem biometrik tunggal iaitu cap jari yang mudah ditiru jika penggodam mengetahui bagaimana enkripsinya berfungsi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Akhbar ini semalam melaporkan, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menggesa kerajaan untuk mewajibkan seluruh rakyat menukar MyKad sedia ada kepada versi terkini dengan segera seandainya ia diperkenalkan kerana hanya dengan cara itu masalah pemalsuan kad pengenalan dapat dihapuskan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan ratusan warga asing bolos dalam negara ini susulan kegiatan pemalsuan MyKad malah didakwa sudah beranak pinak sehingga menjangka empat generasi.

Dr. Aznul Qalid bagaimanapun berkata, sistem biometrik modaliti pelbagai masih boleh dipalsukan selagi tiada inisiatif bagi mengesahkan keaslian sesuatu MyKad dengan menyemak rekod dan kandungannya jika seratus peratus sama dengan rekod yang ada di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, paling utama sekarang ini adalah bagaimana pihak berkuasa menjalankan pemantauan terhadap penggunaan MyKad contohnya dengan menggabungkan sistem biometrik pelbagai dengan rantaian blok yang dikenali sebagai distributed ledger technology (DLT).

Jelasnya, DLT merupakan sistem digital berfungsi merekodkan sesuatu transaksi atau pendaftaran di beberapa tempat dalam satu masa.

“Tidak seperti pangkalan data biasa, DLT tiada pusat penyimpanan data khusus. Katakan saya menggunakan MyKad saya di JPN pada masa sama juga saya menggunakannya untuk urusan permohonan lesen kereta di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jadi kedua-dua jabatan ini akan merekodkan transaksi semasa kad pengenalan digunakan pada satu masa yang sama.

“Contohnya, jika selama ini JPJ perlu mendapatkan rekod transaksi berkait dengan kad pengenalan daripada JPN, tetapi dengan aplikasi teknologi DLT, JPJ sudah mempunyai sesalinan lejer yang akan dikemaskini dengan serta merta.

“Berdasarkan konsep itu, apabila saya gunakan kad pengenalan di tempat lain, penggunaan kad itu akan dikemaskini di seluruh rangkaian DLT yang mana kita boleh jejak penggunaannya,” katanya.

Pun begitu, beliau berkata, sistem DLT dilihat masih baharu dan belum luas penggunaannya oleh mana-mana negara di seluruh dunia justeru itu, sekiranya terdapat penyelidik dalam bidang AI yang menggabungkan kedua-dua elemen tersebut, ia perlulah dilakukan dalam skala kecil untuk menguji keberkesanannya.

“Saya merasakan ini kombinasi yang begitu optimum kerana tiada lagi isu seseorang itu menggunakan kad palsu. Jika dia menggunakan kad palsu untuk sebarang urusan, sistem ini boleh mengesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN