PENDANG: Pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, kini lebih tenang dan tabah untuk menempuh kehidupan selepas kehilangan anak dan ibu mentuanya dalam kemalangan di Kilometer 163.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang 6 Disember lalu.
Menurut pemain posisi penyerang itu, beliau mengakui kata-kata semangat daripada keluarga dan peminat membolehkannya reda dengan kejadian yang berlaku ke atasnya.
“Sedih dan trauma selepas kehilangan orang tersayang meninggalkan kesan mendalam tetapi sokongan ahli keluarga membolehkan saya tabah menghadapinya.
“Saya juga perlu berfikiran positif bagi memberi sokongan serta kekuatan kepada isteri, Nur Amalina Nurain, 25, yang masih sedih kerana kehilangan ibu dan anak bongsu yang baru berusia 22 hari pada hari kejadian.
“Isteri saya juga belum sembuh sepenuhnya dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya,” katanya ketika ditemui di rumah bapa mentuanya di Kampung Padang Pusing, di sini semalam.
Dalam pada itu, Muhammad Syafiq berkata, dia belum memikirkan soal kerjayanya sebagai pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kebangsaan kerana memerlukan lebih masa untuk berehat.
“Saya bersyukur kerana pihak pengurusan JDT memberi kebenaran kepada
saya untuk berehat selepas kejadian itu.
“Kelonggaran itu membolehkan saya memberi tumpuan kepada anak kami, Aaira Nur Saffiya berusia dua tahun dan isteri menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini,” katanya.
Dalam kemalangan itu, tiga mangsa terbunuh dan tiga lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu Muhammad Syafiq dipercayai terbabas di tempat kejadian kira-kira pukul 4 pagi.
Mereka yang maut ialah bayi dan ibu mentua Miuhammad Syafiq iaitu Muhammad Aisy Saqeef dan Zainab Wahab, 45, serta wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an. – UTUSAN










