Sasar 10,000 bekas banduan sertai I-Kembali menjelang akhir 2021

Sasar 10,000 bekas banduan sertai I-Kembali menjelang akhir 2021

98 peratus banduan yang dilepas dengan parol mampu berintegrasi semula dengan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) menyasarkan lebih 10,000 bekas banduan di seluruh negara menyertai program I-Kembali menjelang akhir 2021.

Pengerusinya, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, sambutan yang diterima setakat ini amat baik dan ramai tahanan penjara berminat untuk menyertai program tersebut.

“Kami difahamkan untuk pengambilan kali ini yang sepatutnya dibuat bulan lalu, ramai antara mereka sudah bersiap sedia lebih awal, tidak sabar menunggu walaupun terlewat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan 48 bekas banduan Penjara Tapah, Perak di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC), Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini hari ini.

Program I-Kembali yang bermula sejak Jun lalu ketika ini sudah berjaya menerima lebih 300 peserta dan ia telah melepasi sasaran yang sepatutnya dicapai menjelang hujung tahun ini.

Inisiatif tersebut membolehkan tahanan kategori Orang Bebas Berlesen (OBB) diberi peluang bekerja dalam sektor tertentu dengan majikan terpilih dan membina semula kehidupan baharu. 

“Kami sasar untuk mendapat 10,000 peserta pada akhir tahun depan, sekali gus mengurangkan kapasiti maksimum tahanan yang sesak teruk di semua penjara ketika ini,” jelas Siti Murni.

Malah tambahnya, pihak Jabatan Penjara sendiri terpaksa menolak banyak permohonan kerana ada bakal banduan dibebaskan itu kebetulan sakit atau tidak cukup tempoh masa untuk parol.

Beliau berharap, program I-Kembali akan diambil peluang oleh majikan yang amat memerlukan pekerja mahir sekali gus mengurangkan kebergantungan tinggi kepada buruh warga asing.

“Pergak juga akan mewujudkan Akademi I-Kembali untuk bimbing mereka menjadi usahawan berjaya sama ada dalam sektor pertanian atau industri kecil dan sederhana,” kata Siti Murni.

Dalam pada itu, Pegawai Parol Daerah Hulu Langat, Ketua Inspektor Penjara Mohd. Nasir Awang berkata, program khas anjuran Pergak ini wajar dicontohi oleh badan bukan kerajaan lain.

“Walaupun bekas banduan ini dianggap OBB, masyarakat harus memberi peluang kedua kepada mereka untuk menjadi manusia berguna kembali normal ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau menambah, sejak program parol diwujudkan kerajaan pada 2008, inilah kali pertama ada pihak tampil ‘menyambut’ bekas banduan dengan membuat program khusus sedemikian.

Bagaimanapun kata Mohd. Nasir, memandangkan tahanan itu bertaraf OBB, pejabat parol daerah yang terdekat akan melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan program berjalan lancar.

“Kami berterima kasih kepada Pergak atas inisiatif I-Kembali dan ini juga membantu majikan yang kurang tenaga kerja kerana bekas tahanan ini memang ada kemahiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya