Rais gembira pantun diiktiraf UNESCO - Utusan Malaysia

Rais gembira pantun diiktiraf UNESCO

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Makannya nasi berkuah,
Oleh kerana ia telah sampai ke Morisco,
Rasanya kita bertuah,
Lantaran pantun diiktiraf UNESCO.”

Itu garapan pantun secara spontan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim ketika mengungkapkan rasa syukur kerana pantun mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Berkongsi perasaan dengan Utusan Malaysia semalam, Yang Dipertua Dewan Negara itu berpendapat, pembudayaan pantun dalam perbualan seharian dapat menemukan masyarakat dengan kata-kata asli bahasa Melayu.

Beliau yang juga tokoh budaya berkata, peminjaman terlalu banyak perkataan-perkataan asing ke dalam bahasa kebangsaan sebenarnya telah melemahkan struktur dan seni pembahasaannya.

Tegasnya, pengiktirafan UNESCO dalam mengangkat seni pantun baru-baru ini akan memberi kesan kepada produk seni budaya tempatan.

“Memperjuangkan pantun di pentas dunia, kita mula pada 2004 dan tiga kali telah dibuat percubaan, tidak begitu mendapat sambutan UNESCO. Jadi apabila telah dibuat pengiktirafan baru-baru ini, dengan pelbagai isian daripada Malaysia dan Indonesia, maka pantun itu setelah dibandingkan dengan usaha terdahulu layak dijadikan sebagai tatapan ramai.

“Oleh kerana bahasa Melayu dan bahasa Indonesia itu, sekarang terlampau banyak dirasuk istilah-istilah baharu yang amat melemahkan struktur dan juga seni pembahasaannya. Jadi dengan pantun kita dapat menemukan kata-kata asli dan tiada kata-kata disorot daripada bahasa pinjaman.

“Jadi ini satu pengiktirafan besar dan kita harus bersama-sama dengan Indonesia juga dalam menggalakkan lagi kegiatan ini,” katanya.

Dua warisan kebudayaan tidak ketara negara iaitu upacara wangkang dan pantun berjaya dimasukkan dalam kategori senarai wakil UNESCO, warisan budaya tidak ketara kemanusiaan secara pencalonan multinasional.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengiktirafan itu amat bermakna, kerana buat pertama kalinya Malaysia berjaya mengangkat warisan negara ke pengiktirafan UNESCO.

Bersama negara lain dengan upacara wangkang dicalonkan bersama China dan pantun pula bersama Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN