Penduduk Labu perlukan wakil rakyat benar-benar bekerja

Penduduk Labu perlukan wakil rakyat benar-benar bekerja

Pendekatan memberi perkhidmatan kepada semua kaum diamalkan oleh Ahmad Faez Abdul Razak sebagai Penyelaras DUN Labu selama ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu di sini diyakini akan membuat pilihan bijak dengan memberi undi mereka kepada bakal wakil rakyat yang telah benar-benar bekerja dan berkhid­mat untuk rakyat sebelum ini.

Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, 41, berkata, perkara itu yang telah beliau lakukan dengan menyelesaikan setiap permasalahan penduduk di Labu.

Malah katanya, sebagai Penyelaras DUN Labu, beliau tidak ragu untuk mengatakan bahawa usaha menyantuni dan bertemu pengundi telah dilakukan sejak tiga tahun lalu termasuk di setiap pelosok kampung.

“Saya sentiasa ambil pendekatan turun padang, ia secara konsisten termasuk melalui pelbagai program.

“Langkah bertemu dengan penduduk merupakan langkah terbaik untuk mengetahui apa isu yang dihadapi rakyat di kawasan ini seterusnya diselesaikan.

“Sejak diberi amanah sebagai Penyelaras DUN Labu, sebanyak 498 program telah dilaksanakan menerusi pusat khidmat bagi mendekati masyarakat serta menyampaikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

AHMAD Faez Abdul Razak mengambil pendekatan turun padang mendengar masalah rakyat di DUN Labu.

Ahmad Faez dalam pada itu berkata, masalah jambatan tidak selamat di Kampung Labu Hilir juga antara isu utama yang dibawakan oleh penduduk kepadanya.

Katanya, masalah itu berjaya diselesaikan hanya dalam tempoh kira-kira empat bulan menerusi pembinaan jambatan baharu di kawasan itu.

Menurutnya, projek bernilai RM430,000 itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi peruntukan kerajaan negeri bagi memastikan penduduk kampung dapat menggunakan laluan lebih selamat.

“Pada awalnya, kami me­nerima aduan berkaitan hakisan tanah dan dapat perhatikan jambatan ini sudah tidak stabil.

“Saya menerima aduan daripada Ketua Kampung Labu Hilir yang memaklumkan jambatan ini sudah tidak selamat untuk digunakan.

“Saya maklumkan jangan gunakan jambatan tersebut. Kita cuba tutup dahulu demi ke­selamatan dan pada masa sama mencari jalan alternatif untuk penduduk,” katanya.

Beliau berkata, hasil permohonan yang dibuat juga, sebuah jambatan baharu kemudiannya dibina di lokasi berdekatan dari jambatan asal bagi menggantikan jambatan lama yang kedudukannya terlalu hampir dengan rizab Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB).

AHMAD FAEZ ABDUL RAZAK

Berasal dari Kampung Kering, Labu di sini, sepanjang kempen, hampir kesemua kawasan kampung dan taman perumahan sudah dikunjungi bagi bertemu penduduk dan pengundi.

Katanya, hasil maklum balas diterimanya, beliau optimis kerusi DUN Labu akan berjaya dirampas kembali oleh PH.

“Saya tidak bimbang dengan sebarang usaha dari pihak lawan kerana saya telah buktikan kredibiliti sepanjang khidmat sebagai Penyelaras DUN Labu.

“Secara peribadi, saya tidak nampak ada ‘gelombang biru’ lain padang lain belalang. Ia kelihatan di Johor tetapi di sini, alun-alun pun belum ada.

“Mereka boleh bawa mana-mana pemimpin mereka datang ke negeri ini untuk meraih undi tetapi akhirnya rakyat yang bijak memilih.

“Berbaki tempoh kempen yang ada, saya akan terus berjumpa dengan seramai mungkin pengundi sehinggalah hari terakhir, tempoh yang ada mesti digunakan sepenuhnya,” katanya.

Kerusi DUN Labu yang mempunyai seramai 32, 884 pe­ngundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan Ahmad Faez dicabar oleh penyandang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Hanifah Abu Baker dan Siti Nur Umaira Hasim dari Barisan Nasional (BN).

PROFIL CALON PH DUN LABU

Nama: Datuk Ahmad Faez Abdul Razak
Umur: 41 tahun
Asal: Kampung Kering, Labu, Negeri Sembilan
Kerjaya: Ahli Perniagaan
Pendidikan: Diploma Rekaan Grafik di Kolej Karisma
Jawatan parti: Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN