SEBUT sahaja nama Datuk Seri Shahidan Kassim pasti semua sedia maklum kewibawaan tokoh politik yang cukup terkenal khususnya di Perlis sejak lebih tiga dekad lalu.
Shahidan yang pernah memegang jawatan Menteri Besar sejak 1995 hingga Mac 2008 cukup sinonim dalam kalangan rakyat di negeri ini, sehingga ada dalam kalangan pak cik, mak cik di kampung-kampung terus ingat Pak Dan masih ‘Menteri Besar’.
Meskipun sudah menjangkau usia 70 tahun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu dilihat masih mempunyai kekuatan dan pengaruh politik cukup kukuh di Perlis.
Oleh sebab itu, di mana sahaja Shahidan bertanding sejak 1986, beliau tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan dua Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din (bekas) dan Datuk Hashim Jasin pada tahun 2004 (DUN Tambun Tulang) 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Parlimen Arau).
Shahidan cukup sinonim di kawasan Parlimen Arau dengan menguasai Parlimen itu pada pilihan raya 1986,1990, 2013 dan 2018 manakala di kerusi DUN Tambun Tulang beliau mengekalkan kawasan itu selama empat penggal berturut-turut dari 1995-2008.
Kalau masih ingat, pada 1990, Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam sekarang) yang mencuba nasib di Arau juga pernah tewas kepada Shahidan dengan majoriti 7,794 undi iaitu kekalahan kali kedua bekas pemimpin Pas itu selepas kecundang dalam PRU-7 di Kuala Krai pada 1986.
Justeru, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Shahidan dijangka tidak mempunyai masalah mengekalkan kerusi tradisi itu.
Sekutu UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), Pas dijangka memberi laluan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nampaknya boleh lupakan sahaja hasrat meminta laluan bertanding di situ.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) pernah tewas sekali sahaja di Parlimen Arau iaitu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 1998 apabila Hashim membuat kejutan paling sensasi dalam sejarah politik negeri ini.
Ketika itu, Hashim berjaya memecahkan dominasi BN dengan menewaskan calon daripada parti itu, Datuk Ismail Kassim yang merupakan adik Shahidan dengan majoriti 1,323 undi.
“Shahidan terlalu kuat dan masih mempunyai pengaruh kukuh di Perlis khususnya Parlimen Arau. Setakat ini, kita tidak nampak lagi pelapis-pelapis yang boleh menggantikan Shahidan atau mempunyai aura sepertinya.
“Selagi Shahidan masih berada di dalam arena politik, saya tidak nampak ada pemimpin boleh mengugat kedudukan beliau khususnya di Arau.
“Jika dahulu kita mendapat saingan agak sengit daripada Pas khususnya di Parlimen Arau namun dalam pilihan raya akan datang apabila kita sudah bergabung dengan Pas, saya rasa ‘siang-siang’ lagi menang di situ,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, sumber itu berkata, jika faktor kesihatan dan sebagainya mengizinkan, Shahidan dilihat tidak mempunyai masalah untuk kekal sepenggal atau dua penggal lagi.
Namun persoalannya kata sumber itu, adakah akan ‘lahirnya’ pemimpin daripada parti itu yang boleh menggantikan Shahidan yang mempunyai aura cukup kuat di negeri ini. – UTUSAN







