Pemimpin PH perlu lari daripada bayangan Anwar - Utusan Malaysia

Pemimpin PH perlu lari daripada bayangan Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu lari daripada bayangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beberapa kali mendakwa telah memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan berakhir dengan kegagalan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, mereka juga wajar mencari tokoh pemimpin lain yang dirasakan lebih layak untuk mengetuai blok pembangkang.

Malah katanya, ekoran tindakan pembangkang yang culas dalam usaha menggagalkan Belanjawan 2021 di peringkat akhir, secara tidak langsung memberi tamparan dan menghakis legitimasi, moral serta kewibawaan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

“Inilah jalan yang terbaik tetapi siapakah pelapis baharu yang akan mengambil alih kedudukan dan peranan Anwar nanti? Lagipun, cara Anwar yang dilihat mengikat mereka membuatkan pemimpin lain tidak berani membatasi kepimpinan Anwar.

“Selagi beliau memegang peranan ini, selagi itulah mereka akan terus bergerak dalam lingkaran politik pembangkang yang sama sahaja dan ia tidak akan membawa mereka ke mana-mana,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dewan Rakyat kelmarin meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 selepas bacaan ketiga menyaksikan 111 ahli Parlimen menyokong berbanding 108 menentang, dengan seorang lagi tidak hadir sekali gus menggagalkan cubaan menjatuhkan PN di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Kenyataan akhbar PH pada Isnin yang secara terbuka mahu menolak belanjawan bernilai RM322.5 bilion itu ternyata memakan diri. Ini bukan pertama kali Anwar berusaha menyingkirkan PN kerana di kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu Anwar mendakwa memiliki sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan namun enggan mendedahkan jumlah anggota parlimen yang memihak kepadanya.

Mengulas lanjut, ditanya sama ada anak sulung Anwar merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ataupun Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang sesuai menggalas tanggungjawab berkenaan, Jeniri tidak menolak pilihan itu namun tetap ragu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartinie Aboo Talib berkata, Anwar sudah tidak mempunyai pilihan selain perlu bersara dalam arena politik tanah air.

“Beliau perlu memberi ruang kepada lebih ramai lagi pemimpin lain terutama DAP sebagai Ketua Pembangkang dengan idea-idea baharu sesuai dengan sistem demokrasi yang memerlukan semak dan imbang daripada pembangkang.

“Soal anak sulung beliau sebagai bakal pengganti Ketua Pembangkang, itu tidak menjadi masalah cuma, ia akan kembali meletakkan dinastik politik keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN