NC4 ingatkan penggodam laman sesawang sedang mengganas - Utusan Malaysia

NC4 ingatkan penggodam laman sesawang sedang mengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Penyelarasan Siber Negara (NC4) mengingatkan semua agensi kerajaan mahupun individu supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyelamatkan data daripada menjadi serangan siber.
Serangan itu bermula 29 Disember lalu dan dijangka berlarutan sehingga 5 Januari ini.
Tambah NC4, pihaknya melihat beberapa percubaan serangan yang menyasarkan banyak organisasi di Malaysia.
Insiden itu turut dikesan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mendapati berlaku serangan siber terhadap rangkaian data miliknya kelmarin.
“NC4 turut mengingatkan Pentadbir Sistem dan Pentadbir Rangkaian untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan siber yang mencukupi bagi memastikan sistem dan rangkaian sentiasa selamat,” kata badan itu dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi Asia Pasifik, Khaireel Azlee Abdul Aziz berkata, serangan siber bukanlah perkara baharu, malah, pernah terjadi pada tahun 2000.
“Ini merupakan perkara biasa kerana kebanyakan laman sesawang sesebuah agensi menggunakan sistem portal terbuka atau ‘open source’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, penggodam biasanya akan menggunakan sistem “Deface” untuk menggodam laman sesawang terbuka seperti laman sesawang kerajaan.
Sistem tersebut merupakan satu kaedah terkenal pada tahun 2000 dengan hanya mengimbas portal terbuka untuk log masuk laman sesawang tersebut.
“Penggodam biasanya menggunakan pengimbas ‘port scanner’ bagi menggodam laman sesawang tersebut.” katanya.
Tambah Khaireel Azlee, kebanyakan penggodam adalah secara berkumpulan dalam lingkungan 25 tahun ke bawah.
Katanya, walaupun laman sesawang hanyalah satu portal yang mengisi maklumat kepada pengguna, ia akan merumitkan jika portal tersebut meletakkan sebarang perisian yang melibatkan peribadi pemegang akaun.
“Laman sesawang terbuka hanya datang dengan satu kata laluan sahaja dan ini menyebabkan ia mudah digodam dan sebenarnya cara menggodam sangat mudah bagi portal yang menggunakan sistem terbuka,” katanya.
Menurut Khaireel Azlee, pengguna juga dinasihatkan supaya tidak lagi menggunakan akaun e-mail Yahoo, ini kerana jelas Yahoo sudah tidak relevan dan selamat.
“Pemegang akaun terutamanya perlu sentiasa memantau dan mengemas kini akaun terutamanya bagi laman sesawang kerajaan bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku lagi.
“Oleh itu, sekiranya dapati pelayar anda mengalami gangguan, segera tetap semula nama pengguna serta kata laluan seterusnya mulakan pengendalian insiden, sekali gus kemaskini aturan keselamatan yang terkini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN