DARI peringkat akar umbi sehingga kepemimpinan, hubungan antara UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) di Perlis cukup kukuh. Akar umbi dua parti tersebut sudah boleh menerima dengan baik kerjasama dua parti yang bermusuhan sejak sekian lama itu.
Sejak tahun lalu, sebelum termeterai piagam MN, UMNO dan Pas sudah bersama mengatur gerak kerja termasuk dalam program melibatkan dua parti tersebut.
Berbeza dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti tersebut dilihat sukar ‘masuk duduk’ bersama dengan dua parti yang cukup dominan di Perlis.
Malah, kerjasama antara UMNO dan Bersatu dikatakan masih longgar yang mana gerak kerja atau program-program diadakan masih bergerak sendiri. Akar umbi pula dilihat belum boleh menerima sepenuhnya lagi kerjasama dua parti itu.
UMNO nampak agak berat menerima kerjasama dengan Bersatu apatah lagi mengorbankan kerusi kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Rata-rata akar umbi Pas dan UMNO yang berbual dengan penulis juga selalu menekankan bahawa lebih senang dengan MN kerana jika dilibatkan Bersatu menjadi sukar apabila tiba proses pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum nanti.
Dalam konteks Perlis, MN sudah cukup kuat, tanpa Bersatu sekali pun dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang dalam PRU-15. Campuran undi Pas dan UMNO sahaja boleh menyapu bersih sekurang-kurangnya 14 daripada keseluruhan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.
Dari sudut pembahagian kerusi, UMNO dan Pas dilihat sudah sepakat menggunakan formula mengekalkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menguasai 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas kekal di dua kerusi.
Parlimen Arau dan Padang Besar yang dimenangi BN sejak sekian lama sudah pasti dipertahankan manakala Pas boleh mengintai peluang di Parlimen Kangar.
Jika BN boleh berpakat dengan Pas bertanding di Parlimen Kangar, Pas mungkin diberi laluan untuk menambah kerusi di DUN Sena dan Kuala Perlis iaitu kawasan yang dimenangi PKR sebelum ini.
Satu lagi kerusi yang dimenangi PKR di DUN Indera Kayangan, awal-awal lagi ditegaskan ditandingi wakil MCA.
Jadi, di mana sahaja Bersatu akan bertanding ?
Bersatu mungkin boleh minta tujuh atau 10 kerusi sekali pun, tapi melihat kepada situasi Bersatu yang belum mendapat tempat di Perlis, agak sukar bagi mereka.
Bak kata seorang penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar kepada penulis baru-baru ini, di Perlis, sebaik-baiknya laluan diberikan kepada UMNO dan Pas sahaja kerana Bersatu dilihat sukar mendapat tempat. – UTUSAN










