Merasai suasana bermalam karavan di kampung - Utusan Malaysia

Merasai suasana bermalam karavan di kampung

KAMSOL Sarjan bersama karavan yang disediakan oleh KW Caravan and Cabin Stay di Kampung Parit Pinang, Benut, Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN : KW Caravan Park and Cabin Stay terletak di Parit Pinang, Benut di sini pernah tular seketika kerana menjadi tempat tinggal sementara pasangan pengembara berbasikal dari Perancis, Cyrille Pinardow dan Rose Sanz.

Mereka tidak dapat pulang ke Perancis selepas kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu disebabkan Covid-19.

Menurut pemiliknya, Kamsol Sarjan, 59, kehadiran mereka berdua secara tidak langsung telah memperkenalkan KW Caravan Park dan Cabin Stay apabila kisah pengembara ini mula disiarkan di kaca televisyen di samping tular dalam media sosial.

Beliau berkata, pihaknya mula membina penginapan berkonsepkan karavan seperti di Eropah itu pada 2015,  namun, sambutannya dalam kalangan pelancong tempatan kurang memberangsangkan.

“Rakyat tempatan masih tidak mengetahui tarikan penginapan seperti ini berbanding pelancong asing. Jika di luar negara, ia terdapat di tepi pantai atau kawasan air terjun, tetapi, saya cuba memberikan pengalaman baharu kepada pelancong untuk merasai suasana bermalam di kampung.

“Keseluruhan kawasan ini seluas enam ekar yang turut ditanam dengan tanaman dusun bagi memberikan peluang kepada pengunjung merasai musim buah-buahan ketika bermalam di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya hanya mempunyai dua unit karavan terpakai yang dibeli dengan harga RM130,000 dari United Kingdom (UK). 

Katanya, dengan kos yang tinggi, hanya ada terdapat 100 pengusaha pelancongan karavan di Malaysia yang hanya beroperasi di kawasan tumpuan ramai seperti tepi pantai atau air terjun berbanding di kampung.

Bagaimanapun beliau gembira kerana dapat membantu sektor pelancongan di daerah ini dengan memberikan pilihan kepada pelawat sama ada untuk tinggal di hotel, resort, inap desa atau karavan.

Tambah Kamsol, pihaknya menyediakan 16 kabin dengan pelbagai kelengkapan dan kadar sewaan antara RM50 hingga RM250 mengikut saiz bilik tertentu.

“Selain itu kami juga menyediakan 20 tapak bagi mereka yang membawa lori karavan sendiri dengan bekalan air dan elektrik adalah secara percuma,” jelas beliau.

Katanya, kaedah mempromosi tempatnya turut dilakukan melalui media sosial seperti Facebook selain melalui kenalan dan sahabat yang datang ke Pontian bagi mencuba kelainan bermalam di KW Caravan Park dan Cabin Stay. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya