Mat Sabu saman Setiausaha Pas Selangor, dua lagi - Utusan Malaysia

Mat Sabu saman Setiausaha Pas Selangor, dua lagi

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memfailkan saman terhadap Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor termasuk Ketua Pengarang Harakah dan satu lagi atas dakwaan memfitnahnya.

Mohamad atau turut dikenali sebagai Mat Sabu memfailkan saman itu, 28 Oktober lalu, di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma Tetuan Amin Amirul & Partners.

Beliau menamakan Roslan Shahir Mohd. Shahir yang juga kolumnis akhbar Harakah dan portal Harakahdaily; Wan Nordin Wan Yaacob serta penerbit Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Menurut pernyataan tuntutan, kesemua defendan pada 14 September lalu menerbitkan artikel berbaur fitnah bertajuk ‘Husam: PAN parti ditaktor’ di laman sesawang Harakahdaily dan merujuk kepada Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

Artikel tersebut didakwa merujuk kepada Mohamad dan memberikan gambaran plaintif adalah seorang presiden bersifat diktator dan bertujuan menjatuhkan dan merendahkan maruah serta krediliti dirinya.

Susulan daripada terbitan artikel, plaintif mendakwa berasa malu, kredibiliti dan reputasi terjejas selain dipandang hina masyarakat.

Plaintif memohon ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dengan faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.

Mohamad turut memohon perintah agar kesemua defendan meminta maaf kepadanya dan menarik balik kesemua pernyataan berbaur fitnah itu dan permohonan maaf itu perlu diterbitkan di akhbar dan laman sesawang Harakah.

Plaintif turut memohon perintah injunksi menghalang kesemua defendan daripada mengeluarkan kenyataan berbaur sama ada secara lisan atau di internet.

Turut dimohon ialah kos peguam plaintif, kos tindakan saman dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Hasil semakan di sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof, 7 Januari tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya