Laut China Selatan jangan ada aktiviti ketenteraan - Utusan Malaysia

Laut China Selatan jangan ada aktiviti ketenteraan

ISMAIL Sabri Yaakob pada Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus Ke-7 secara maya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kekal bebas dan selamat untuk tujuan komersial, tanpa sebarang aktiviti ketenteraan.

Demikian penegasan dan pendirian kerajaan terhadap perairan Laut China Selatan melalui Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus Ke-7 secara maya hari ini.

Persidangan dihoskan Vietnam sebagai Pengerusi ASEAN 2020 dengan rakan dialog iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Rusia.

Ismail Sabri berkata, perairan antarabangsa berkenaan tidak wajar dijadikan pihak tertentu sebagai medan konflik persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia.

“Semua pihak digesa mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan rantau Asia Tenggara,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Ismail Sabri turut menekankan mengenai krisis pelarian Rohingya yang telah memberi kesan kepada aspek sosial dan ekonomi bukan sahaja Malaysia, bahkan peringkat antarabangsa.

Untuk itu beliau mahu isu tersebut tidak seharusnya ditanggung secara bersendirian oleh mana-mana negara khususnya Malaysia dan menyeru penglibatan negara-negara anggota ASEAN lain.

Usaha itu jelas beliau, terutama rakan dialog ASEAN sendiri selain masyarakat antarabangsa untuk pertingkatkan langkah bersama bagi bantu dalam mencari penyelesaian jangka panjang.

“Penyelesaian untuk tempoh lama yang berkesan terhadap krisis kemanusiaan etnik minoriti itu perlu segera dicari secara bersama oleh pelbagai pihak daripada berlarutan,” tegasnya.

Beliau turut menyertai sambutan ulang tahun ke-10 ADMM Plus dengan sesi bersama tetamu khas dari Jerman, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Britain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada persidangan itu juga, Ismail Sabri berpeluang mengadakan tiga mesyuarat tidak rasmi dengan menteri pertahanan dari AS, China dan Jepun yang dibuat bersampingan ADMM Plus.

Program itu diakhiri dengan sesi menandatangani Deklarasi Bersama oleh kesemua menteri terlibat yang bersetuju memperkukuhkan semangat kerjasama antara semua negara terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN