PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bercadang untuk menjadikan latihan tambahan sebagai syarat kepada kelab dan pengendali swasta penerbangan bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecekapan dalam kalangan peminat penerbangan
Keputusan tersebut diambil bagi memastikan kemalangan udara tidak lagi berulang di negara ini pada masa hadapan.
Ini termasuk membuat kajian semula terhadap peraturan dan prosedur sedia ada untuk mengenal pasti sebarang kekurangan serta memperbaikinya demi keselamatan semua pihak.
“Keselamatan orang ramai termasuk peminat penerbangan swasta sentiasa jadi keutamaan, tanpa jejas pertumbuhan perniagaan dan industri,” kata CAAM menerusi kenyataan hari ini.
Ia antara usaha dibuat berdasarkan laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan susulan nahas melibatkan dua helikopter pada 8 November lalu.
Siasatan teknikal kes di Taman Melawati, Kuala Lumpur itu dibuat mengikut Annex 13 (Penyiasatan Kemalangan dan Insiden) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Kenyataan itu menambah, laporan awal tragedi mengorbankan dua nyawa itu telah disiarkan melalui laman sesawang kementerian dan memaklumkan siasatan penuh masih lagi berjalan.
Berdasarkan laporan itu, CAAM telah mengambil tindakan segera bagi memastikan tahap keselamatan orang awam dan semua pemain industri ini sentiasa diutamakan setiap masa.
“Kami ingin mengingatkan sekali lagi bahawa objektif utama siasatan ialah bagi menentukan keadaan dan penyebab kemalangan dengan tujuan pencegahan di masa depan,” katanya.
Kementerian tersebut ujarnya, menegaskan bahawa proses penyiasatan itu tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak yang berkaitan dengan insiden.
Dalam nahas itu, dua buah pesawat tersebut dipercayai bergesel sebelum terhempas setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pukul 11 pagi.
Kemalangan melibatkan helikopter jenis G2CA milik My Heli Club itu mengorbankan Komander (B) Tentera Laut Mohamed Sabri Baharom, 56, dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41.
Namun, dua lagi penumpang yang menaiki helikopter berasingan menuju ke Genting Sempah itu selamat serta dikenali sebagai Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51. -UTUSAN ONLINE










