KOTA BHARU: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan mengutip bayaran saman sebanyak RM6.15 juta menerusi tawaran 50 peratus diskaun bagi tempoh 11 hari, baru-baru ini.
Tawaran diskaun tersebut bermula pada 16 November dan berakhir pada 30 November itu adalah sempena hari keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang disambut pada 11 dan 12 November lalu.
Ketua JSPT negeri, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kutipan itu melibatkan sebanyak 53,095 saman atas pelbagai kesalahan trafik dan telah menjangkaui sasaran asal RM3 juta.
“Kutipan itu dilakukan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri bermula 16 November dan berakhir semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, pada hari pertama sebanyak RM575,150 dikutip, diikuti hari kedua (RM553,780), hari ketiga (RM413,920), hari keempat (RM430,830), hari kelima (RM592,130), dan hari keenam (RM355,500).
Kutipan hari ketujuh pula adalah sebanyak RM389,720, diikuti hari kelapan (RM435,290), hari kesembilan (RM521,280), hari ke-10 (RM931,460) dan hari ke-11 (RM958,880). – UTUSAN