KPDNHEP Selangor rampas produk minuman syarikat degil guna logo halal - Utusan Malaysia

KPDNHEP Selangor rampas produk minuman syarikat degil guna logo halal

ANGGOTA KPDNHEP Selangor sedang menerangkan sesuatu kepada wakil syarikat yang menggunakan logo halal telah dibatalkan di sebuah premis yang diserbu di Bandar Pinggiran Subang, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kedegilan sebuah syarikat yang tetap menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) walaupun permohonan mereka dibatalkan mengundang padah apabila premis di yang terletak di kawasan perindustrian Bandar Pinggiran Subang itu diserbu semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.45 pagi dilakukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor turut merampas produk minuman syarikat itu dianggarkan bernilai RM45,000.

Pengarah KPDHNEP negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan terhadap premis itu dilakukan susulan pemantauan yang dijalankan pihaknya sejak sebulan yang lalu. 

“Hasil risikan mendapati, syarikat berkenaan masih menggunakan logo halal JAKIM yang telah dibatalkan di atas alasan operasi syarikat berkenaan gagal mematuhi standard pemegang sijil halal seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) antaranya keadaan premis yang kotor dan bahan mentah diletakkan diatas lantai kilang. 

“Ketika serbuan dijalankan, pasukan telah menemukan sejumlah 830 botol minuman kordial yang menggunakan logo halal JAKIM yang telah dibatalkan penggunaannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Muhamad Zikril Azan berkata, pihaknya turut menemukan 4,100 kotak pembungkus dan kira-kira 700 gulung pelekat atau label produk yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaannya oleh JAIS.

Katanya, wakil syarikat memaklumkan pihaknya telah membuat permohonan rayuan ke atas penarikan sijil halal syarikat namun ditolak oleh pihak JAIS berikutan terdapat teguran-teguran yang dibuat gagal diambil tindakan sewajarnya dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk dibekalkan makanan dengan membuat apa-apa representasi memperdayakan atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam. 

“Representasi tersebut termasuklah penggunaan ayat-ayat suci al-Quran di mana makanan dijual atau bekas makanan yang dibekalkan tersebut,”katanya.

Tambahnya lagi, jika disabit dengan kesalahan, bagi kesalahan memperdayakan atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam, syarikat boleh didenda tidak lebih RM5 juta dan bagi kesalahan berikut.

“Bagi kesalahan menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran atau apa-apa perbahasaan halal tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa, boleh diambil tindakan dan disiasat di bawah Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Jika disabitkan dengan kesalahan pihak perbadanan atau syarikat boleh didenda tidak lebih RM200,000 dan bagi kesalahan berikut, denda tidak lebih RM500,000,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya