Kerajaan sentiasa komited menjaga dan memulihara hutan - Utusan Malaysia

Kerajaan sentiasa komited menjaga dan memulihara hutan

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sentiasa komited dan mengukuhkan tindakan secara bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif untuk meningkatkan penjagaan dan pemuliharaan hutan.

Menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan telah memperkenalkan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) buat kali pertama pada tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi menggalakkan Kerajaan-kerajaan negeri mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.

Katanya, walaupun tiada sebarang peruntukan khas disediakan kepada kerajaan-kerajaan negeri sebagai pampasan, namun kerajaan Pusat secara puratanya telah memperuntukkan secara konsisten bajet pembangunan berjumlah RM1.54 bilion bagi memulihara hutan sejak tahun 2010.

“Peruntukan untuk EFT ini telah diagihkan di peringkat negeri melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP).

“Inisiatif ini juga diteruskan pada tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM70 juta sebagai insentif tambahan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Shamsul, kerajaan-kerajaan negeri digalakkan untuk memberi penekanan kepada pengiktirafan hutan sebagai modal semula jadi dan hutan bukan kayu-kayan semata-mata sebaliknya perlu memperkukuhkan unique selling proposition (USP) untuk Taman Negeri atau Hutan Lipur di bawah Jabatan Perhutanan Negeri masing-masing bagi memasarkan produk ekopelancongan bernilai tinggi secara lebih berkesan.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang Dewan Rakyat menyarankan Pulau Pinang menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah selepas kerajaan negeri itu ‘berkorban’ untuk tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, saranan itu merupakan cadangan yang baik selain apa diharapkan adalah ia tidak hanya tertumpu di Kedah sebaliknya perlu menyeluruh melibatkan semua pihak dan negeri-negeri lain yang turut ‘berkorban’ menjaga hutan demi kawasan tadahan air.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, kementeriannya akan bekerjasama semua kerajaan negeri untuk meneroka pelbagai instrumen baharu kewangan bagi mendapatkan dana konservasi termasuk melalui mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries (REDD Plus).

Malah, bermula Januari 2021, kementeriannya juga akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menambah litupan kawasan berhutan, memulihara biodiversiti serta meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat.

“Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan menunjukkan komitmen negara dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi oleh kawasan berhutan, selaras dengan komitmen di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.